Khamis, 17 September 2015

Kesalahan Paralaks dalam Sains Sosial

Pada awal pembelajaran subjek Sains, setiap individu akan melalui topik yang membicarakan tentang kesalahan-kesalahan yang akan wujud dan dilakukan oleh sesiapa dalam proses pembuktian sesuatu teori sains. Antara kesalahan tersebut ialah kesalahan paralaks (baca: parallax error). Kesalahan paralaks berlaku apabila kita gagal meletakkan mata kita setentang dengan paras akhir objek yang patut kita lihat iaitu sembilan puluh darjah daripada objek. Terminologi ini sering kita dengar dalam Sains Tabii, akan tetapi penulisan ini akan merungkai frasa ini dalam sudut Sains Sosial pula.

*****

Pagi Ahad yang lalu, saya dijemput untuk berkongsi tentang pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripada filem Bajrangi Bhaijaan, sebuah filem Bollywood yang sangat menarik. Untuk ulasan yang lebih substantif, satu post lain mungkin akan ditulis berkenaan filem tersebut. Semasa menonton filem tersebut bersama peserta, tiba-tiba saya mendapat mesej daripada seorang penulis yang keras dan melawan di halaman Facebook. Mesejnya adalah jawapan kepada permintaan saya sendiri untuk mengambil buku yang telah lama dibeli olehnya di Indonesia. 

"Buku hang sampai Bangi dah woi"
(27 Ogos)

"Di mana?"
(27 Ogos)

"Bos, buku di Bangi, di mana?"
(12 September)

"Waze Garaj T****l, Seksyen 15."
(13 September)

Usai makan tengah hari, saya terus bergegas ke Bangi semula untuk ke garaj tersebut. Mulanya agak berdebar kerana ini kali pertama bertegur sapa untuk bersembang. Setelah melangkah masuk dan memberi salam, saya berjabat tangan dengannya dan pekerjanya. Saya duduk bersama mereka di atas kerusi di tengah garaj dan mula berkenalan. Tiba-tiba satu soalan terpacul daripada mulut penulis tersebut,

"Jom keluar weh! Tapi sebelum tu, aku nak solat dulu"

Kelu dan terpaku. Orang yang kuat perlawanannya dalam media sosial, lunak hatinya dalam sudut bertuhan.

Buku yang dibeli dengan tangan beliau



*****

Kesalahan Paralaks yang Real

Kesalahan paralaks yang real ialah kesalahan kita sendiri dalam menilai manusia yang sama seperti kita. Kadang-kadang, kita menilai manusia hanya melalui cara berpakaian dan cara mereka menulis dalam media sosial. Saya bersetuju jika perkara-perkara tersebut diambil kira untuk menilai seseorang secara keseluruhan. Akan tetapi, jika ingin menilai seseorang solat ataupun tidak hanya dengan melihat cara berpakaian dan tingkah laku media sosialnya, agak kurang sesuai.

Jika kita meletakkan dua perkara tersebut sebagai kayu ukur, nescaya Abdullah bin Ubay juga kita akan cop sebagai ahli syurga dan tauhid-sentrik. Manakan tidak, dia memang tergolong dalam kumpulan orang Islam pada masa itu. Dia bersama dalam rombongan menuju Uhud, CUMA berpatah balik selepas itu. Pakaiannya juga mungkin persis Muslim biasa pada zaman itu, mungkin berjubah atau bergamis. Tetapi, cara berpakaian dan muamalah dengan manusia bukan rubrik yang kamal (baca: sempurna) dalam menilai hubungan manusia dan Tuhan-Nya.

Pesan al-Quran dan Sirah


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagaian daripada prasangka itu dosa..."
(Az-Zumar, 49 : 12)

Syed Qutb meletakkan ayat ini di bawah tajuk "Undang-undang Memelihara Kehormatan Anggota-Anggota Masyarakat Islam".[1] Menariknya tajuk tersebut kerana Syed Qutb memikirkan bahawa bersangka baik adalah antara adab dan rukun dalam hidup bermasyarakat. Akan tetapi, saya merasakan ayat ini sentiasa releven dalam mana-mana kumpulan masyarakat sekalipun. Masyarakat majoriti Muslim, mahupun minoriti, ayat ini sentiasa menegaskan bahawa berprasangka itu adalah tidak beretika kerana kita tidak tahu prasangka yang mana yang akan membawa dosa. Oleh itu, menjauhi prasangka sentiasa dan mampu mengharmonikan masyarakat, malah menjauhkan diri kita daripada dosa.

Pulang daripada peperangan Bani Musthaliq, satu peristiwa yang cukup memedihkan hati Ummul Mukminin telah berlaku, Peristiwa yang dinamakan Hadith al-Ifk telah berlaku. Dalam menyikapi fitnah yang tersebar, Rasulullah agak tenang. Aisyah mengatakan bahawa Rasulullah tidak menerima wahyu daripada Allah selama sebulan. Akan tetapi, Rasulullah mengatakan,


"Wahai Aisyah, jika engkau telah melakukan dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya, jika seorang hamba itu mengakui dosanya, kemudian dia bertaubat kepada Allah, maka Allah pasti menerima taubatnya."

Tidak sempat Rasulullah berganjak daripada tempat duduknya, turunlah wahyu yang mengangkat fitnah daripada Aisyah. Maka, bergembiralah dua insan mulia tersebut. 'Ibrah daripada peristiwa tersebut, Prof. Dr, Ali Ash-Sholabi mengatakan bahawa Allah memerintahkan agar orang beriman sentiasa menjaga pendengaran mereka dan bersangka baik kepada saudaranya yang lain, berdasarkan ayat: [2]

"Mengapa ketika kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah satu berita bohong yang nyata.""
(An-Nur, 24 : 12)

Masa Kini: Antara Cabaran Pendakwah

Jika zaman Rasulullah pun kita sukar untuk menilai hati seseorang, malah mereka berpakaian sebagaimana Rasulullah berpakaian. Apatah lagi masa kini, zaman yang sangat jauh daripada Rasulullah. Dengan cabaran globalisasi dan konsumerisme, cara hidup manusia juga sudah berubah. Cara berpakaian manusia juga berubah, Jubah juga sudah ada potongan ramping (baca; slim fit), malahan manusia juga sudah biasa ber-jeans. Oleh itu, bersikap prejudis terhadap mereka yang berpakaian seperti itu adalah salah sama sekali, malah menutup peluang dakwah. Secara teorinya, mereka tidak bersalah. Memakai jeans bukan bermaksud tidak menutup aurat. Menulis dengan bahasa yang agak keras dalam media sosial juga tidak bermakna mereka melanggar had, melainkan mereka menulis perkara berbaur tuduhan dan larangan-larangan Allah dalam surah al-Hujurat. Akan tetapi, tasawwur kita yang perlu dibaiki.

Naqib kami ketika membahaskan tentang pembahagian manusia dalam Risalah Dakwatuna Imam al-Banna mengatakan bahawa pembahagian ini adalah bertujuan untuk memudahkan para pendakwah memilih pendekatan yang sesuai berdasarkan objek dakwahnya, bukan bersikap selektif dan dalam memilih objek dakwah. malahan, bukan tugas kita berhukum ke atas objek dakwah.

Untuk maju ke hadapan, pendakwah perlu membuang sikap prejudis dan skeptik terhadap sesiapa pun. Selain itu, rajinkanlah diri bergaul dalam masyarakat.

Bebaskan dirimu daripada kesalahan paralaks ini. Menjadi pendakwah bukan bermaksud kita berhukum sebagai Tuhan, bukan?

Selamat Hari Malaysia!


_____________________________________________________________
-
[1] Syed Qutb, Fi Zhilal al-Quran, cetakan pertama. (Kuala Lumpur: Pustaka Darul Iman, 2010) hlm. 123.

[2] Prof Dr Ali Ash-Sholabi, Sejarah Biografi Rasulullah, cetakan pertama. (Jakarta Timur: Pustaka al-Kautsar, 2012) hlm. 176.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan