Jumaat, 13 Mei 2016

Kerisauan Kita

Bismillah

Entah, dalam kehidupan dunia, senantiasa sahaja kita mengimpikan macam-macam perkara. Karier yang stabil dan kewangan yang lestari untuk menyara anak dan isteri. Malah, kadang-kadang dalam kehidupan yang bakal menjadi hasil pelaburan kita di dunia juga, kita tetap mempunyai harapan-harapan. Kita ingin meningkatnya keupayaan dalam mengahafal al-Quran, istiqamah dalam menunaikan solat berjemaah subuh di masjid dan sebagainya.

Andai kata kita sudah tua, tanda-tanda kematian sudah terzahir dan paling rumit, tiada anak; apa yang kita risau dan harapkan?

Antara kerisauan utama mungkin pewarisan harta; siapa yang akan mewarisi sedikit sebanyak harta yang kita kumpulkan?

Bagi yang mempunyai perniagaan sendiri; siapa pula yang akan mengambil alih perniagaan yang telah beliau melaburkan sebahagian besar kehidupannya di syarikat tersebut?
Kalau perempuan nampak budak ini masa event, mesti akan ada suara, "eeee, comelnya" ;p

Ajaib, ya. Ajaib apabila memikirkan semula kalam orang yang telah mendahului kita. Perbualan ini Allah rakamkan dalam al-Quran,

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan (3)
Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. (4)

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. (5)

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai". (6)
(Maryam: 3 - 6)

Dalam kemustahilan fizikal, Allah menjawab doa dengan menghadiahkan anak; pemberian yang sering didamba pasangan yang sudah bernikah. Mustahil, dakwa Zakaria, tulus dalam permohonannya. Lihat sahaja fizikal Zakariya AS; lemah tulang, rambut yang dominannya putih dan mandul pula isterinya. Kuasa doa yang ikhlas berserta adabnya, Allah kurniakan Yahya AS. Alhamdulillah.

Namun, yang lebih menarik ialah kerisauan utamanya ialah bukan kerana apa-apa, tetapi kebimbangannya akan masyarakat yang berada di sekelilingnya. Masyarakat memerlukan kehadiran seorang pendidik dan pendakwah yang sering mengingatkan akan amal yang perlu dilakukan atau ditinggalkan. Itu matlamat Zakariya AS tika memohon kepada Allah supaya mengahdiahkannya anak. Kiranya, matlamat besar kita mempunyai anak, jika Allah rezekikan, ialah untuk mendidik beliau menjadi seorang pendakwah ke jalan Allah.

Jika kita, mungkin soal mempunyai zuriat itu soal hendak berseronok, ber'selfie' dan berlari bersama. Ya, tak salah tapi kita perlu jelas akan tujuan asalnya. Di atas itu harapan Zakariya AS ketika belum dikurniakan anak. Lihat pula harapan para Anbiya' yang sudah mempunyai anak,

Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Tunduk patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam". (131)
Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yakub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam". (132)
 Adakah kamu hadir ketika Yakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya." (133)
(Baqarah: 131 - 133)

Begitu keprihatinan para Nabi apabila mereka dikurniakan anak dan itu jugalah kerisauan mereka apabila mereka sudah merasakan tiba masanya bagi mereka meninggalkan kefanaan dunia. Anak-anak dan sembahan mereka setelah mereka tiada yang menjadi sebahagian kalam akhir mereka. Adapun hal-hal seperti harta tidak pernah ditekankan pula dalam al-Quran. Islam dijadikan agenda utama dalam fikiran mereka. Nah, berapa pula tempoh yang kita gunakan untuk bertafakur akan kemaslahatan masyarakat dan dakwah? 

Jika tiada anak?

Soalan ini sentiasa bermain dalam fikiran lelaki dan perempuan yang belum bernikah. Sebentar, kita cuba cari alternatif lain ya? Premisnya, Islam harus disampaikan walau apa cara sekalipun kerana ia merupakan arahan Allah. Nuh AS tidak mampu meng-Islam-kan zuriatnya. Ternyata usaha Nabi Nuh sudah sangat kuat, 950 usia kehidupannya. Lihat juga Muhammad SAW dalam usahanya untuk menyelamatkan bapa saudaranya, Abu Thalib. Khalilullah Ibrahim AS juga tidak mahu ayahnya Azar untuk mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah. Akhir sekali kawan, Allah jualah yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki. Namun, ini bukan alasan untuk culas dalam melaksanakan kerja dakwah ya! Usaha.

Jawapannya, carilah orang yang mampu kita ajak kebaikan kepadanya. Mungkin juga orang yang mampu kita tegur kesilapan-kesilapannya. Rasulullah bersabda, 

"Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun." 
 (HR Muslim no. 1017)

Kalau kita cuba mengambil ibrah daripada ayat al-Quran dan hadis di atas, kita cubalah sehabis daya untuk mewariskan kefahaman Islam yang sebenar kepada sesiapa yang kita mampu. Untuk saya sendiri, wajib untuk sentiasa menambah kefahaman tentang Islam, kerana itulah modal kita.

Jadi, sebenarnya kita boleh sahaja beramal. Punya anak atau tidak bukanlah perkiraannya. Jika mempunyai anak, itu rezeki dan tanggungjawab. Kalau belum tiba lagi anaknya itu, nescaya Allah akan buka pintu rezeki daripada arah lain. Yang penting, kita menyimpan kesungguhan yang benar untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini dengan izin  dan pertolongan Allah.

Wassalam

P/s: Berat sangat sebenarnya tanggungjawab beranak ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan