Isnin, 8 Februari 2016

10 Khawatir Selepas Membaca Hadis Ini

Bismillah
Seperti mana yang saya coretkan dalam tulisan yang sebelum ini: Rak Buku, saya suka dan cinta akan Hadis. Cuma, saya kurang berdamping dengan ilmuwan Hadis dan saya sendiri bermasalah untuk meluangkan masa membaca sendiri Hadis. Namun, saya terserempak dengan sebuah teks Hadis yang sangat indah dan mungkin menyebakkan; bisa membuatkan orang yang berhati lembut teresak membacanya. Hati saya sikit keras (tough), sebak sahaja yang rasa. Walau bagaimanapun, silakan ambil pengajaran. 

(Nota: Khawatir ialah lintasan hati)

*****

Maiz bin Malik merupakan seorang lelaki daripada puak Aslam yang bertubuh rendah dan tegap. Dia seorang anak yatim di bawah jagaan Hazzal. Pada suatu hari, Maiz bin Malik melakukan zina dengan seorang gadis yang tinggal di persekitaran tempat tinggalnya. Lalu, Hazzal menyuruhnya, "Pergi laporkan apa yang engkau lakukan kepada Rasulullah SAW. Semoga Baginda dapat memohon kemaafan buatmu."

Maiz bin Malik pergi bertemu dengan Rasulullah di dalam masjid dan berkata, "Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan zina, sucikanlah diri ini." Rasulullah menjawab, "Kasihannya kamu! Pulanglah, minta ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya."

Belum jauh Maiz bin Malik pergi, dia kembali kepada Rasulullah dan merayu sekali lagi, namun Rasulullah tetap mengarahkan perkara yang sama terhadapnya. Maiz bin Malik mengulangi rayuannya sebanyak dua kali. Namun, setelah empat kali hal itu berlaku, Rasulullah bertanya kepada Maiz, "Daripada hal apakah engkau harus kusucikan?" Maiz bin Malik menjawab, "Daripada zina." Baginda bertanya kepadanya, "Adakah benar aku mendengar engkau melakukan zina dengan seorang gadis daripada keluarga si fulan?"

Maiz bin Malik menjawab, "Ya." Rasulullah bertanya lagi, "Apakah engkau sudah tidak waras?" Maiz menjawab, "Tidak." Kemudian Rasulullah bertanya kepada para Sahabat yang berada di sekeliling Baginda, "Adakah dia menghidap penyakit gila?" Mereka menjawab, "Tidak, ya Rasulullah. Dia tidak gila."Baginda bertanya kepada mereka, "Adakah dia mabuk?" Mereka mendekati dan membaui Maiz bin Malik, tetapi tidak ada bau khamar, lalu mereka menjawab, "Tidak, dia tidak mempunyai sebarang masalah, kecuali dia melakukan dosa besar dan merasakan tiada yang dapat menyucikan dirinya selain mendapat hukuman."

Rasulullah bertanya lagi kepada Maiz bin Malik, "Adakah engkau sudah berkahwin?" Maiz bin Malik menjawab, "Ya." Rasulullah bertanya lagi, "Adakah engkau menciuminya atau membelainya atau hanya melihatnya?" Maiz bin Malik menjawab, "Tidak." Baginda bertanya lagi, "Adakah engkau tidur bersamanya?" Maiz bin Malik menjawab, "Ya." Baginda bertanya lagi, "Adakah engkau menyentuhinya dengan penuh mesra?" Maiz bin Malik menjawab, "Ya." Baginda bertanya lagi dengan jelas, "Adakah engkau menyetubuhinya?" Maiz bin Malik menjawab, "Ya."

Selepas mendengar pengakuan Maiz yang terang tanpa ragu-ragu, akhirnya Rasulullah berkata, "Bawalah dia pergi dan lakukan hukuman rejam dengan batu kepadanya." Kemudian, Baginda menyeru orang-orang di sekeliling Baginda, "Apabila kami keluar berjuang kerana Allah, seorang daripada kamu akan tinggal dan menjerit seperti kambing jantan yang mengawan seorang perempuan itu. Sesungguhnya tidak Allah benarkan aku mengecualikannya melainkan aku menghukumnya dengan seteruk-teruknya."

Maiz bin Malik dibawa ke Musalla di Baqi al-Gharqad untuk direjam. Mereka tidak mengikat atau mengorek lubang untuk Maiz tapi mereka serta merta merejamnya dengan batu dan tulang belulang ke arahnya, Hal ini membuatkan Maiz bin Malik lari ketakutan dan melaung kepada mereka, "Wahai kamu sekalian, bawalah aku kembali kepada Rasulullah. Sesungguhnya, kaumku mengkhianatiku dan memberitahuku bahawa mereka tidak akan membunuhku." Namun, mereka mengejar Maiz bin Malik dan mengepungnya di sebuah tempat bernama al-Harrah dan merejamnya sampai mati. Apabila Rasulullah mendapat tahu Maiz bin Malik cuba melarikan diri, Baginda berkata, "Mengapa kamu semua tidak melepaskannya dan membawanya kembali kepadaku? Mungkin dia sudah bertaubat dan Allah mungkin menerima taubatnya."

Setelah kematian Maiz bin Malik, masyarakat di situ berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mengatakan Maiz mati, dan dosanya terhapus kerana dia menjalani hukuman secara ikhlas. Manakala, kumpulan yang satu lagi berpendapat Maiz bin Malik telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana dia bertemu Rasulullah, lalu diletakkan tangannya di atas tangan Rasulullah dan meminta untuk dijatuhkan hukuman rejam ke atas dirinya. Setelah dua atau tiga hari, Rasulullah datang kepada kedua-dua kumpulan ini dan berkata, "Mintakanlah ampun bagi Maiz. Maiz betul-betul sudah bertaubat dengan sempurna taubat. Seandainya taubat Maiz bin Malik dapat dibahagi antara satu kaum, pasti mencukupi untuk mereka semua."

Rasulullah juga berkata kepada Hazzal yang menyuruh Maiz bin Malik membuat pengakuan:
"Wahai Hazzal, adakah engkau menutupi tubuhnya dengan pakaianmu, iaitu menyorokkan dosanya daripada kaumnya, itu adalah lebih baik bagimu."

(Riwayat bersama yang telah direkodkan al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Bahagian-bahagiannya yang pelbagai telah disahkan oleh al-Albani (Irwa al-Ghalil no. 2322))

*****

1. Sukar untuk bertemu dengan pemberani seperti Maiz bin Malik hari ini. Saya percaya peribadi seperti ini lahir daripada tarbiyah imaniyah yang disemai Rasulullah, sahabat dan penjaganya ke atas tanggungan masing-masing; jika Rasulullah dan para sahabat, bagi mereka ialah masyarakat, manakala bagi penjaganya (Hazzal) ialah rumah tangganya. Pembinaan fard muslim (individu muslim) hendaklah bermula dari rumah dengan bantuan pendidik, manhaj dan suasana baik yang dibina masyarakat sekeliling.

2. Maiz mengakui kesalahannya di hadapan imam atau ketuanya. Dalam situasi ini, beliau menghadap Rasulullah sebagai ketua agama. Terlalu banyak yang kita culas dalam kehidupan seharian kita. Adakah kita memohon hukuman daripada penguasa kita; guru atau pensyarah bagi seorang pelajar, bos bagi seorang pekerja, tuan rumah bagi seorang orang gaji?

3. Seboleh-bolehnya Rasulullah tidak mahu menjatuhkan hukuman kepada ummatnya. Rasulullah beberapa kali mengelak untuk menjatuhkan hukuman namun, kesungguhan Maiz untuk menyucikan dirinya mengatasi sikap defensif Rasulullah untuk tidak membawa kes ini. Peristiwa semisal ini pernah terjadi kepada Umar al-Khattab, namun dalam kerangka pensabitan zina melalui penyaksian. Umar gembira apabila saksi tidak cukup seorang sehingga menjerit, "Allahu Akbar! Segala pujian bagi Allah yang tidak membenarkan Syaitan untuk bergembira dengan nasib malang yang menimpa ummat Muhammad SAW." (Diriwayatkan oleh at-Tahawi, Ibnu Abi Syaybah dan lain-lain. Disahkan oleh al-Albani (Irwa al-Ghalil no. 2361))

4. Rasulullah sangat cermat ketika mahu menjatuhkan hukuman. Rasulullah mengenal pasti sama ada individu yang mengaku itu wajar atau tidak dipertanggungjawab dengan hukum-hukum taklifi. Gila tak mewajarkan seseorang dijatuhkan hukuman kerana mereka sudah tidak punya akal yang waras untuk dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab Muslim yang sempurna.

5. Malah, Rasulullah tidak membuat keputusan secara berseorangan. Baginda meminta para sahabat mengesahkan sesuatu. Senang cerita, bicangkan dan jangan bersikap autoritarian dalam beragama. Boleh sahaja Allah meminta Rasulullah membuat keputusan berseorangan kerana Rasul pasti bersikap adil, namun Allah menunjukkan bahawa keputusan seperti ini perlu dibuat secara bersama.

6. Hatta semasa hukuman berjalan, ada belas kasihan. "...Apabila Rasulullah mendapat tahu Maiz bin Malik cuba melarikan diri, Baginda berkata, "Mengapa kamu semua tidak melepaskannya dan membawanya kembali kepadaku? Mungkin dia sudah bertaubat dan Allah mungkin menerima taubatnya.""

7. Dalam satu kuliah bersama Ustaz Nasaie Hanaffie, beliau mengatakan bahawa kita jangan membanding diri kita dengan sahabat. Mereka dimuliakan dengan kisah-kisah ini. Cuba bayangkan, jika tiada kisah-kisah seperti ini, Islam akan nampak tidak pragmatik. Boleh jadi jika tiada kisah seperti Maiz, hari ini, tidak mustahil ramai yang akan bosan dengan agama. Oleh itu, para sahabat dikorbankan untuk memperlihat praktikaliti Islam itu sendiri.

8. Taubat adalah perkara yang tidak patut terlupakan bagi manusia berdarjat hamba. Kita punya Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Pengampun. Bila-bila masa dan tempat, mohon keampunan dan istighfar. Adapun kes Maiz, taubatnya cukup agung. Melalui pengakuan dan kesungguhan untuk disucikan, Rasulullah mengisytiharkan taubatnya cukup untuk kesalahan-kesalahan sesuatu kaum. Allahu!

9. Pembinaan fard muslim harus dijalankan walau sudah di tangga mana kita berdiri teguh. Saya tidak tahu di mana kes ini berlaku, namun saya percaya perkara ini berlaku pasca-Hijrah di mana hukum-hukum Islam mula diperkenalkan. Zaman khulafa' hukuman seperti ini masih diteruskan dan begitulah seterusnya. Pembinaan fard muslim yang baik akan membentuk manusia yang tidak hipokrit, malah manusia yang tulus dalam beragama. (Dah macam liberalis dah! Haha)
Namun, itulah hakikatnya. Saya masih kurang pasti dalam tatacara bernegara. Namun, jika pembinaan individu di tahap yang sangat baik, tiada masalah kita berada di tahap mana, manusia sedar akan tanggungjawabnya; jika tidak bersalah, tanggungjawabnya mengingat dan melindung. Jika bersalah, mohon maaf, bertanggungjawab dan menyerah diri untuk dihukum. 

Kata al-Banna:
"Gunakanlah 90% bahagian dari waktumu untuk takwin..."
(Sedih dengan prestasi sendiri)

10. Diri sendiri pula bagaimana? Tingkatkan istighfar, ihsan dalam pekerjaan dan penyertaan dalam perbincangan bersama qudama'. 
"Kawwinu anfusakum tatakawwanu ummatukum: Bentuklah diri-diri kamu, nescaya akan terbentuklah ummat di sekelilingmu"

Wallahu a'alam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan