Isnin, 29 Februari 2016

Buku #3 dan #4: Rumah Kita

Bismillah.

Alhamdulillah dan Astaghfirullah. Februari yang kurang produktif dalam pembacaan. Dua buku habis dibaca dalam permulaan bulan ini, namun gagal mengekalkan momentum pembacaan. Masih membaca meski sedikit terbabas.

Buku ini sengaja dibeli, namun tak lebih sekadar persediaan, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam fasa kehidupan ketika ini. Buku ini dibeli sekali dalam senarai pembacaan di post Rak Buku (link). Dua buah buku ini adalah buku yang terkandung dalam trilogi bertemakan perkahwinan. Naskhah ini ditulis oleh Muhammad Mustafa al-Jibaly; anak murid kepada Syeikh Nasiruddin al-Albani. Saya tidak berhajat memanjangkan ulasan tentang buku ini. Hendak baca, silalah baca.





Trivia buku ini:

1. Buku pertama bertajuk "Meraih Cinta dan Kasih Sayang" menyentuh seawal-awal perkara dalam perkahwinan. Pastinya, ciri-ciri pasangan yang harus dicari dan Alhamdulillah buku ini tidak mendiskriminasi kaum Hawa. Kadang-kadang para asatizah kerap membawa perbincangan seolah-olah pihak wanita hanya penerima keputusan. Dalam buku ini, perspektif lelaki dan wanita tampak seimbang. Seterusnya, dibawa kepada pinangan hinggalah perkahwinan. 

2. Buku kedua yang bertajuk "Pakaian Yang Paling Indah" banyak berkisar hubungan suami dan isteri, hukum dan sebagainya. Contohnya, 'azal; adakah dibolehkan atau tidak. 

3. Pastinya buku-buku ini membawa cara pandang seorang ahlussunnah. Setiap perbahasan dibawa Al-Quran, Hadis dan perbahasan ulama'.

4. Cuma, kadang-kadang ada pandangan yang sedikit keras.

5. Namun, salafi tak semestinya tidak rasional. Dalam buku kedua, beliau ada menceritakan penyakit-penyakit kelamin secara terperinci. Kadang-kadang, kita sendiri pun kurang faham.

6. Kekurangan buku ini semestinya disebabkan tiada diagram. Terutamanya dalam perbahasan hal-hal buku kedua. Kadang-kadang ada yang memerlukan ilustrasi. Tidak mengharapkan ilustrasi yang melampau. Cukuplah setanding dengan buku biologi zaman persekolahan supaya kefahaman terhadap satu-satu situasi lebih jelas.

Saya tak pernah ke kursus perkahwinan. Namun, saya yakin perbincangan yang dibawa dalam buku ini cukup kontemporari dan tidak diceritakan dalam kursus perkahwinan. Kalau ada, maaf ya Jabatan agama Islam negeri? :)

Buku ini pastinya bukan buku geli-geli; ilmiah. Hidup kena berpandukan ilmu.

Rumah Kita


Wallahu a'alam.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan