Rabu, 9 Mac 2016

Buku #5: Masharakat Melawan Mahasiswa

Bismillah

Provokatif. Satu perkataan untuk menggambarkan tajuk buku; bahkan tajuk-tajuk artikel dalam buku tulisan ZF Zamir. ZF Zamir, nama yang saya kenali dalam era baru wacana politik dan masyarakat madani di Malaysia sekitar Pilihan Raya Umum ke-13 sekitar tahun 2012. Ketika itu majoriti masyarakat yang tinggal di bandar terutamanya, dilanda tsunami kesedaran peri pentingnya penglibatan mereka per se dalam pemilihan pemimpin dan mengubah struktur sosial masyarakat Malaysia. Sekitar 2012 juga beliau dengan saudara Anas Alam Faizli menubuhkan Teach for the Needs (TFTN); sebuah badan bukan kerajaan yang bertujuan menggerakkan massa untuk menyumbang dalam agenda pendidikan masyarakat yang terpinggir. Penglibatan yang aktif dalam kerja sosial tersebut tidak menghalang beliau untuk menulis. Akhirnya, lahirlah karya Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang yang melonjakkan nama guru ini. Bermula dari situ, beliau giat menulis beberapa lagi karya dan kini memiliki syarikat penerbitan sendiri iaitu Thukul Chetak.

Naskhah ini tidaklah menarik perhatian saya. Namun, disebabkan terdapat tawaran daripada syarikat penerbitan buku tersebut membuatkan saya malas berfikir dan terus membeli buku ini. Beberapa ketika sebelum itu juga, mahasiswa USIM pernah menghantar kertas kerja kepada Timbalan Dekan salah sebuah fakulti untuk menganjurkan syarahan oleh penulis sendiri tentang naskhah ini yang ketika itu masih panas dan baru dikeluarkan. Jadi, saya kata lebih baik tukar tajuk, asalkan perbincangan tersebut substantif dan menggerakkan jiwa-jiwa mahasiswa ini untuk terus berkhidmat.



Masharakat Melawan Mahasiswa. Buku ini dibahagikan kepada 3 bahagian utama. Namun, saya memilih untuk mencerakinkannya kepada dua bahagian yang utama. Pertama, perbincangan sekitar pendidikan manakala yang kedua; saya klasifikasikan kepada selain pendidikan.

Pendidikan

Pendidikan merupakan perkara yang cukup fundamental dalam kehidupan manusia. Malah, jika kita tidak diajar tentang makna 'pendidikan', kita tetap akan mendidik seseorang mengikut acuan yang kita rasa baik untuk mereka. Namun, pendidikan kini boleh dikatakan hilang rohnya. Antara persoalan dan perbincangan yang ditimbulkan oleh penulis dalam buku ini ialah:

i. Peranan Mahasiswa

Menjadi tajuk buku, pastinya tajuk ini yang ingin dibedah sehabisnya oleh penulis. Masih dalam wilayah pendidikan, peranan mahasiswa yang dibangkitkan tidak jauh berbeza berbanding buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Akhirnya, mahasiswa harus berkhidmat kepada masyarakat.

Cuma, perbincangan yang menarik ialah apabila penulis mula mengiktiraf sains dan teknologi dan kepentingan artikel-artikel akademik yang berindeks kerana akhirnya kedua-dua perkara ini membantu membangun masyarakat dan peradaban.

"Dunia sedang bergerak pantas, Wawasan 2020 hanya kurang 6 tahun untuk dicapai. Saya fikir jelas, kita sudah pasti tidak mahukan Wawasan 2020 disambut tatkala kita memandu Toyota, memakai gajet Sony Experia, memasang penghawa dingin Mitsubishi di rumah, membasuh baju dengan mesin basuh Panasonic dan menonton Buletin Utama TV3 dengan set televisyen lengkung Samsung." (Artikel 'Masyarakat Tidak Perlukan Universiti')  
Sumbangan kepada masyarakat pula ditakrifkan oleh penulis sebagai sumbangan ketika masih belajar dan pasca-graduasi. Semasa belajar, tentunya memanfaatkan ilmu melalui penulisan dan pendidikan kepada golongan yang memerlukan. Manakala, pasca-graduasi, para graduat mestilah terlibat secara langsung dalam proses demokrasi di Malaysia memlaui penglibatan dalam penentuan polisi dan gerakan.

ii. Mazhab Cinta

Mazhab yang ditawarkan ini bukanlah alternatif kepada 4 mazhab muktabar dalam fikh. Akan tetapi, hanyalah penjenamaan semula kepada roh pendidikan itu sendiri supaya perkara ini nampak lebih garang dan meyakinkan, sekurang-kurangnya bagi saya. Cinta atau kasih sayang merupakan perkara pertama yang perlu dipupuk supaya anak-anak lebih mendengar dan mudah menerima kata-kata seseorang. Dalam fikh dakwah juga, antara tahapan awal kepada pendakwah untuk berdakwah ialah dengan mendekati orang yang didakwahi.

Namun, mazhab yang ditawarkan dalam buku ini menjentik kita untuk berfikir sejenak tentang pendidikan kita masa ini. Antara individualistik dan kolektif; di mana letak duduknya pendekatan pendidikan kita. Dalam mazhab cinta, penulis mencadangkan agar diwujudkan suasana kerjasama sesama rakan sekelas bahkan dijauhkan kasta pendidikan. Para pelajar juga digalakkan untuk membantu mereka yang lemah dalam sesuatu subjek.

Selamanya, dalam penulisan ZF Zamir, beliau akan mengingatkan para pembaca falsafah pendidikan kita iaitu Falsafah Pendidikan Nasional yang akhirnya mahu menatijahkan manusia yang seimbang dan berjaya dari sudut jasmani, rohani, intelek dan emosi. Tidak dilupakan; sosial. Ini yang sering dilupakan atau mungkin kurang ditekankan.

Selain Pendidikan

Dalam buku ini juga penulis meletakkan kegusaran beliau terhadap hal-hal politik, polisi kerajaan dan cara pandang masyarakat.

Antara perkara yang menarik, iras satu artikel dalam SBPUBK, buku ini memuatkan artikel Adakah Tuhan Menentang Anak Yatim. Petikan artikel:

"Anak-anak yatim akan terus diperlakukan sebegini rupa, dijual, dipandang dan diperlekeh sebagai warga 2nd class, diminta mengemis untuk sesuatu yang mereka tak pernah minta; kerana kita punya warga masyarakat seperti anda. Orang yang tidak punya sikap, serta tidak pernah berani untuk berpihak kepada orang yang tertindas."
"Yang perlu kita risaukan ialah diri kita sendiri. Adakah Tuhan bersama kita?"
Sentiasa elemen bertuhan itu wujud dalam tulisan beliau. Selain itu, kisah panda China dan Obama juga dikisahkan dalam buku ini.

Penutup: Pemerhatian dan Rekonsiliasi

Saya memilih untuk senyap dan tidak menjustifikasi sama ada pandangan-pandangan ini benar ataupun tidak. Tidak pernah salah apa yang diungkapkan oleh penulis. Cuma bagi saya, untuk meletakkan harapan yang tinggi kepada mahasiswa untuk melaksanakan segala perkara bermula daripada belajar secara mendalam, aktivisme kepada masyarakat, hinggalah kepada menerbitkan artikel-artikel berindeks SCOPUS dan ISI merupakan harapan yang menggunung. Tidak mudah untuk kita meletakkan beban setiap perkara itu terhadap seorang mahasiswa. Namun, jika perkara ini dilaksanakan secara strategik atau jama'ie, nescaya perkara itu mampu dilaksanakan; diberikan kefahaman mahasiswa akan tanggungjawab mereka parameternya sebegini. Cuma, masing-masing punya pengkhususan, namun saling melengkapi dan memberi sokongan.

Perbincangan tentang individualistik dan kolektif sekolah renda menarik minat saya. Saya tidak mengatakan individualistik secara total akan menghasilkan manusia yang holistik; tidak juga kolektif per se. Tentu ada pemisah antara perkara yang perlu dilakukan secara individu mahupun holistik. Di samping itu, perlu diwujudkan mekanisme supaya ke-kolektif-an menatijahkan manusia yang free ride dalam sesuatu kerja manakala ke-individu-an menghasilkan manusia yang sangat angkuh dengan keilmuannya. Mungkin juga pendidikan ala-ala universiti perlu diwujudkan untuk tahap dua sekolah rendah? Namun, mungkin kajian boleh dibuat untuk menentukan kesesuaian pembelajaran tersebut kerana universiti mempunyai penilaian-penilaian sepanjang semester yang melibatkan kerja kumpulan dan individu. Cuma, akhirnya, mekanisme apa yang mampu melahirkan manusia yang jujur dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja masing-masing.

Dalam buku ini juga dibincangkan tentang kasta pendidikan yang diwujudkan lewat pembahagian kelas. Kasta pendidikan juga wujud dengan kewujudan kelas tuisyen kerana akhirnya golongan kaya juga yang mampu untuk membiayai kelas tambahan bagi anak-anak mereka. Kesannya, yang akan menduduki kelas pertama adalah golongan kaya. Tapi tidak dinafikan ada sahaja golongan yang tidak berpendapatan tinggi yang berjaya. Cuma, untuk anak-anak sekolah rendah, amat kasihan jika mereka perlu ke kelas tambahan. Pada pandangan saya, jika mereka perlu hadir ke kelas tambahan, berapakah masa yang mereka mampu peruntukkan bersama keluarga? Seolah-oleh perkara ini amat paradoks dengan tujuan asal TFTN ditubuhkan. Dan mungkin, kekurangan masa bersama keluarga dan alam sekitar membuatkan mereka gagal mendapatkan rangsangan alam sekitar untuk menjadi manusia yang lebih menghargai dunia dan isinya.

Akhir sekali, mungkin juga kerajaan melalui pembuat polisi perlu memikirkan untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa perguruan dan pensyarah supaya komposisi warga pendidik dan yang dididik dapat melalui pendidikan yang kondusif dan menatijahkan manusia yang holistik berdasarkan Falsafah Pendidikan Nasional. Pendidikan bersifat tawhid-sentrik mungkin patut diwujudkan supaya para pelajar menjadi lebih bertanggungjawab dan melaksanakan kerja-kerjanya dengan bersungguh-sungguh. Jangan lupa daftar pengundi!

Wassalam.

P/s: Ulasan Ustaz Hasrizal mengenai pendidikan dalam siri Halaqah Pendidikan juga menarik. Beliau mencadangkan para peserta membaca buku Leonard Sax.

Masa, kau wujud lagi ke?
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan