Selasa, 22 Mac 2016

Buku #6: Momentum Kebangkitan

Bismillah

Buku ini dicetak buat kali pertama pada tahun 2014. Tahun Indonesia menghadapi Pemilihan Umum (Pemilu). Buku ini ditulis atau lebih tepat merupakan kumpulan orasi dan syarahan oleh mantan Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Anis Matta. Anis Matta, persona yang saya kenali melalui buah mulut senior dalam gerakan dakwah IKRAM, yang mempunyai basis yang sama dengan PKS. Sikit sikit, puji Anis Matta dengan kelantangan dalam setiap orasinya. Pada awal penglibatan saya dengan gerakan, tidak saya temui sedikit pun kelebihan Pak Anis. Mungkin kerana saya membandingkan Pak Anis dengan Anwar Ibrahim; seorang lagi persona yang hebat, juga bersifat lokal. Dengan latar belakang kebangkitan informasi dan politik di Selangor, pastinya saya lebih menyanjungi kepetahan Anwar Ibrahim dalam mengungkap fakta dan cara beliau memenangi telinga pendengar. Akan tetapi, setelah saya lama bergelumang dengan gerakan dan faham 'sesuatu', saya merasakan cara fikir saya harus berubah dan saya menerima Pak Anis dengan kelebihannya bersyarah dalam topik yang beliau mahir manakala Pak Anwar dalam bidang yang lain pula; masing-masing punya peranan dan kelebihan yang tersendiri. Anis Matta disifatkan sebagai pemimpin yang sangat well-verse akan keadaan parti kerana beliau bermula dari bawah; ahli biasa, pernah menjadi Sekretari Jeneral dan Presiden. Yang pasti membuatkan saya lebih kagum dengan beliau ialah parti memilih untuk menjadikan beliau sebagai calon presiden (Capres) dalam Pilihanraya Presiden pada tahun tersebut. Seawal usia 40 tahun beliau sudah dihormati sebegitu rupa; pasti ada ramuan yang kualitinya tidak sama dengan orang kebiasaan.

Buku ini hanya berketebalan 112 halaman dan memuatkan 6 syarahan Pak Anis di sekitar Indonesia. Buku ini berlatar belakangkan perletakan jawatan Lutfi Hasan Ishaq, Presiden PKS sebelum Anis Matta akibat tuduhan korupsi dan beliau ditahan. Saya tidak pasti sama ada beliau dipecat atau meletak jawatan atas arahan parti atau mungkin juga meletakkan jawatan dalam keadaan rela. Walau apa keadaan sekalipun, saya meyakini setiap ahli parti berfikir dengan cara yang sama; nama parti harus dibersihkan. Dan caranya ialah dengan menukar posisi tertinggi dalam eksekutif parti. Watak yang punya kredibiliti untuk menggalas cabaran tersebut tidak lain tidak bukan; Anis Matta. Daripada koleksi artikel ini kita akan melihat paradigma Anis Matta yang ada iras-iras Ikhwan Muslimun, bahkan persis generasi al-Quran yang unik seperti mana yang digambarkan oleh Syed Qutb.

Beli di Iman Shoppe


Tema utama yang dibawa oleh Anis Matta dalam fasa bernafas dalam lumpur bagi organisasi politik ini ialah:

1. Kebergantungan kepada Allah

Noktah ini mungkin nampak mudah tapi percayalah, pengamalannya sangat mencabar. Dalam buku ini turut termuat ucapan pertamanya selepas pengumuman perlantikan beliau sebagai Presiden baru PKS oleh Majlis Syuro PKS. Perkara pertama yang ditegaskannya ialah kembali kepada Allah dengan ucapan "Allahumma Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'in". Jika ditanya kepada orang awam, mungkin mereka akan mengatakan mula untuk merancang melalui kecekapan tangan-tangan dan otak-otak manusia. Itulah perbezaan yang ketara antara dua jenis manusia.

Dalam orasi bertajuk Faktor-faktor Kemenangan Dakwah, beliau menyebutkan faktor kemenangan yang pertama ialah "Wathiquna billah" yang bermaksud kami percaya/iman dengan Allah. Membacanya tampak mudah tapi sekali lagi, amal hati yang membezakan lafaz itu sekadar lafaz atau mampu menggerakkan.

Di samping itu, kader-kader PKS juga dikehendaki untuk mebaca surah al-Baqarah, Yasin, Saaffat, al-Waqi'ah, al-Mulk, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Untuk tempoh seterusnya, mereka dikehendaki untuk melazimi surah bertema jihad iaitu al-Anfaal, at-Taubah, Muhammad dan al-Fath.

2. Strategi dan kerja keras

Ini adalah perkara yang membezakan gerakan tajdid berbasis Ikhwan berbanding sesetengah gerakan tajdid. Mereka tidak mengabaikan asbab kemenangan dakwan dan acuan Allah ini. Anis Matta juga menekankan aspek ini selepas keyakinan bahawa Allah akan menghulurkan bantuan dan kemenangan ke atas mereka yang berusaha untuk mendaulatkan Islam. Gerak kerja yang tersusun merupakan kunci kedua untuk membuka pintu kemenangan. Dalam orasi pertama beliau, beliau menyatakan:

"Syarat kedua [menghadapi hari sulit], ikhwah sekalian, adalah kebersamaan kita"
"Syarat ketiga ikhwah sekalian, adalah kerja keras."
"Tidak ada lagi waktu tidur sejak hari ini saudara sekalian. Kita akan memulai hari ini, insya Allah sebagai momentum kebangkitan kita." 
Faktor kemenangan dakwah yang kedua dan ketiga yang ditegaskan oleh Pak Anis ialah;

"Nahnu wathiquna billah, thumma wathiquna bil-manhaj, thumma wathiquna bil-qiyadah wal-jund"
Akhirnya usaha-usaha para pendiri organisasi harus dihargai dengan kepercayaan kerna yang pertama, mereka menyediakan manhaj ini dengan kefahaman Islam yang menyeluruh dan pastinya berpandukan al-Quran dan Sunnah (rujuk Risalah Taalim al-Banna berserta huraiannya dalam Fi-Afaq at-Taalim).

Beberapa perkara yang menarik dalam ucapan Anis Matta ialah:

1. Penyesuaian mukaddimah ucapan dengan roh yang ingin dibawa dalam ucapan.

Misalnya, ucapan kedua lebih kepada bermatlamat untuk menyatukan hati-hati para kader PKS. Oleh itu, ucapannya dimulakan dengan lafaz:

"Alhamdulillah alladzi allafa bayna qulubina wa ja'alana ikhwanan mutahabbin 'aamilin da'ina mujahidina fi sabilillah..."
"Segala puji selayaknya hanya kepada Allah yang menyatukan hati-hati kita dan menjadikan kami saudara yang saling berkasih sayang, berkerja/beramal, pendakwah/da'ie, orang-orang yang berjihad di jalan Allah.."
Mukaddimah lain pula yang menjadi sebahagian besar mukaddimah kepada ucapan-ucapan dalam buku ini pula, yang pasti menjentik hati-hati manusia untuk terus bersungguh-sungguh, Pak Anis memulakan dengan ucapan:

"Alhamdulillah alladzi faradha al-jihad 'ala al-Muslimin, wa ja'alahu manatha 'izzihim wa rif'ihim..."
"Segala puji selayaknya hanya bagi Allah yang telah memfardhukan jihad ke atas ummat Islam dan menjadikan jihad sebagai wasilah untuk membanggakan (?) dan meninggikan  darjat mereka..."
Ini adalah satu bentuk semangat yang disuntik oleh pemimpin kepada yang dipimpin. Bahkan motivasi yang diberikan bukan dibina atas asas material. Namun, semangat dibina atas fondasi jihad yang telah menjadi bukti kepada kejayaan Islam yang telah menjadi rujukan dan peradaban selama 1000 tahun.

2. Kemajuan dan Perubahan

Pertama, buku ini disusun mengikut kronologi. Dari situ, saya menyimpulkan perubahan-perubahan yang dilakukan adalah bersifat tadarruj atau bertahap. Langkah awal yang diambil oleh Pak Anis ialah memulangkan kembali hati kepada pemilik hati, Allah. Kemudian, beliau memotivasikan para kader dengan kisah-kisah perjuangan. Akhir sekali, menterjemahkan kisah-kisah yang dinarasikan kepada bentuk-bentuk amal yang boleh dikerjakan.

Begitu juga dengan proses mendidik manusia. Kadang-kadang kita terlanjur dan terlalu tergesa-gesa. Jadi, ambil satu langkah ke belakang untuk maju berlangkah-langkah ke hadapan, insyaallah! ;)

3. Ketajaman Akal.

Buku ini membuktikan ketajaman akal Pak Anis Matta. Pertama, dalam seni mengubah cara fikir kader sehingga mampu membawa PKS ke hadapan. Kedua, beliau mahir mengaitkan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah peradaban Islam dengan situasi semasa. Badar, Uhud, Ahzab, Mu'tah, Qadisiyah, serangan Mongol dan pelbagai lagi disebutkan dalam buku ini


Mailing list kami suatu masa dahulu yang turut mengambil semangat perjuangan Indonesia. hehe

Kadang-kadang pembacaan sebegini membantu pembentukan hati; tidak terlalu melembikkan bahkan menguatkan.

Wassalam

P/s: Suka tajuk "Mari Tuliskan Kisah Besar Tentang Kita"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan