Isnin, 24 Ogos 2015

Semboyan Telah Berbunyi!

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, penulis mula membaca sebuah buku yang memuatkan temu ramah antara Yong-june Park dengan Slavoj Zizek, Slavoj Zizek: Demanding the Impossible. Perkara yang paling menarik minat penulis ialah jiwa memberontak Zizek terhadap ideologi 'anutan'-nya, iaitu Sosialisme/Komunisme (yang mana satu penulis tidak pasti). Dalam buku ini, Zizek telah membawa pemugaran kalimah-kalimah kudus mazhab Sosialisme dan Komunisme. Antaranya ialah exploitation dan proletariat. Nak tahu lebih lanjut, kenalah baca buku ini.



Telahan Zizek

Di bawah tajuk "The Public Use of Scandal", Zizek menyenaraikan beberapa pemimpin dunia yang pernah dikaitkan dengan skandal yang berbentuk menggunakan dana awam dan termasuk juga kesalahan-kesalahan moral peribadi. Antara peribadi yang disebut oleh Zizek ialah Berlusconi. Berlusconi merupakan Perdana Menteri Itali pada tahun 1994 ke 1995, 2001 ke 2006 dan 2008 ke 2011. Berlusconi telah melakukan penipuan dan korupsi dalam negaranya sendiri. Selain itu, dia juga dikatakan terlibat dengan skandal pelacuran.

Selain itu, nama yang disebut juga ialah Joschka Fischer, bekas Menteri Luar Jerman. Beliau merupakan penganut mazhab kiri. Fischer telah memudahkan permohonan visa untuk kemasukan imigran ke Jerman. Bukan sekadar itu, Fischer juga telah membenarkan kemasukan imigran dengan identiti diri palsu. Mungkin jika ingin disamakan, kes ini persis senario yang berlaku pada tahun 2013 ketika Pilihan Raya Umum ke-13. 

Kata Zizek ketika menyaksikan kemenangan Parti Buruh yang diketuai Tony Blair di England, 

"A week before the elections, there was a big TV talk show on the BBC 
and people were voting about "who is the most hated person in Britain?" 
Tony Blair won. But a week later, he won the election."


Ironi bukan? Ya, dan ini berlaku di sebahagian negara-negara lain. Pemimpin dilondehkan, tapi masih memenangi pilihan raya.

Ironi yang Maha-Besar

Kes-kes seperti ini bukan hanya berlaku di negara Eropah. Berlaku juga di "Tanah Tumpahnya Darahku" ini. Pada tahun 2013, telah diadakan kajian oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) yang diketuai Dekan Fakulti Sains Sosial ketika itu, Professor Dato' Dr. Redzuan Othman yang menyebelahi Ketua Pembangkang ketika itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Namun, PRU-13, Barisan Nasional tetap menang walaupun melalui kiraan secara keseluruhan, Pakatan Rakyat telah memenangi hati pengundi dengan majoriti kecil. 

Dengan londehan-londehan yang berlaku pra-PRU 13, tetap tidak mampu menjatuhan Perdana Menteri kesayangan kita, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Firaun Millenia

Jangan ingat Daie Millenia sahaja yang wujud. Firaun Millenia juga wujud. Rupa sahaja berbeza. Jika dulu, gelaran ini dibawa sang raja di bumi Kinanah, kali ini dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia. Tiada beza pun atribut mereka.

Jika dahulu Firaun membawa seruan ke arah semangat ke-Qibti-an. Di Malaysia, Dato' Seri Najib membawa seruan ke-Melayu-an. Jika UMNO tidak diselamatkan, Melayu akan terus bangsat.

Jika dahulu penindasan dilakukan ke atas Bani Israel oleh Firaun. Kali ini, Dato' Seri bertanya, "Apa lagi Cina mahu?" setelah analisa PRU 13 mendapati majoriti rayat berbangsa Cina memilih untuk bersama Pakatan Rakyat,

Dan semua atribut yang dituju kepada Firaun, Raja Mesir suatu ketika dahulu hampir sama dengan sikap Dato' Seri ketika ini. Untuk bacaan lanjut, Fikih Tamkin karangan Professor Dr Ali Muhammad Ash-Sholabi adalah bacaan yang baik.

#HarapanBaru

Sub-tajuk ini tidaklah membawa makna gerakan serpihan Parti Islam se-Malaysia itu. Akan tetapi membawa kekuatan perasaan agar ironi yang dibawa Zizek hancur berkecai sama sekali. Kita tidak mahu logik "semakin dilondeh, semakin popular pemimpin tersebut" terus membugar. Walaupun kita telah melihat implementasi GST, gaji yang stagnan, harga barang yang meningkat, skandal 1MDB, bangsat-membangsat dan sebagainya. Dan kita masih mahu menyimpan dia di Putrajaya?

Sudahlah! Peganglah mazhab apa sekalipun, Sosialis, Libertarian, Islamis ala PAS, IKRAM, ABIM, Haluan, #HarapanBaru, pasti semua inginkan negara yang lebih aman dan sifar korupsi. Sudah-sudahlah bergaduh ya pembangkang. Kita terlalu sibuk mencari kesalahan satu sama lain.
Ingatlah:

"Al-Ummah Hiya al-Aslu"
"Ummah adalah asal"

Kepentingan kolektif melebihi kepentingan diri sendiri. Noktah. Dalam kerangka penulisan ini, kepentingan rakyat Malaysia dengan dana awamnya, dengan maslahat ekonominya, mengatasi kepentingan kumpulan aku lebih baik daripada kumpulannya. Holier than thou.

Bergeraklah! Jadi, penulis ingin mengajak semua pembaca (ada ke?) untuk turun bersama-sama ke acara di bawah:


Datang, sampaikan perasaan dengan akal yang waras. Jangan timbulkan provokasi. 
  1. Jangan buang sampah merata-rata. Kita juga pemegang saham terhadap alam ini.
  2. Jaga akhlak, jaga kata-kata. Jangan melampau-lampau!
Cara ini bukanlah segala-galanya. Akan tetapi, inilah salah satu cara yang memberi impak berskala besar terhadap masyarakat. Cara-cara lain boleh dirujuk buku 198 Methods of Nonviolent Action terbitan The Albert Einstein Institution mengenai cara-cara yang boleh dilakukan dalam kerangka negara yang tertakluk dengan sistem demokrasi.

Islah al-Hukumah!

"Hakikat hari ini adalah mimpi semalam, mimpi hari ini adalah hakikat hari esok"
-Hasan al-Banna

Wallahu Ta'ala A'alam

(Ini bukanlah perbincangan teras Zizek. Perbincangan Zizek lebih mengakar berbanding yang ini)

Ahad, 23 Ogos 2015

Mula

Dengan nama Allah,

1, 2, 3 Go!

*Maaf, ada anasir Hujan sikit*

Kenapa buat blog?

#1
Aku rasa sini tempat yang agak sunyi. Dahulukala, selalu juga aku 'menyalak' di Facebook dan Twitter tapi aku rasakan 'salakan' di sana hanya palsu dan tidak 'tangible'. Aku memerlukan suasana yang lebih real untuk aku jaga keikhlasan dan kejujuran dalam menyampaikan rasa dan memuntahkan kehendak akal ini.

Kehendak Like dan Share mengatasi ilmu dan rasa yang ingin disampaikan. Kehendak Retweet dan Favorite mengatasi substance yang ingin diceritakan.
Palsu, palsu belaka.

#2
Kedua, aku rasa Facebook dan Twitter tempat yang agak sukar untuk pendokumentasian penulisan. Tulisan dua tahun lepas, sukar untuk digali dan kurang mesra peng-arkib-an. Di sini, lebih mudah untuk mencari semula tulisan-tulisan yang lama.

#3
Aku ingin bermula dengan serius penulisan-penulisan yang lebih ilmiah berdasarkan tradisi ilmu.

Interest dalam bidang penulisan?

#1
Meng-kontekstual-kan Majmu' al-Rasail Hasan al-Banna. (Ini agak susah)

#2
Noktah-noktah yang terdapat dalam bahan bacaan harian dan sedikit rumusan, insyaallah.

#3
Catatan hidup, untuk bacaan anak dan cucu. (Bahagian ini, agak menyampah lah pelawat/pembaca membaca nanti.) . Tapi, ranah ini sahaja yang aku rasa agak sesuai untuk diceritakan.

Oleh itu, di ranah ini, aku ingin melakarkan idea, biar tidak sependapat dengan massa.

Tulisan hari ini mungkin nampak bijak hari ini tapi esok, mungkin cara pandang kita akan berubah. Aku akan toleh ke belakang dan berkata, "Bodohnya lah aku semalam".

Biarkan itu berlaku. Dari situ, kau akan nampak, kau semakin hari semakin meningkat.

"Hari ini mestilah lebih baik daripada semalam. Esok mestilah lebih baik daripada hari ini. Celakalah orang yang hari semalamnya lebih baik daripada hari ini"

*****

Kalau tidak bermula sekarang, bila lagi?

Bismillah, GO!
Allahumma Fasyhad!