Jumaat, 27 Mei 2016

Buku #7: Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia di Christiana (BDJUSDDC)

Bismillah.

Buku ini telah lama saya beli. PBAKL yang terakhir di PWTC; tahun 2014. Penulisnya pasti mereka yang berminat dengan karya indie kenal dengannya kerana beliau merupakan salah seorang penulis yang keras dalam mengkritik isu-isu dalam negara terutamanya isu pendidikan meski penulis-penulis lain di bawah penerbitan syarikat indie lebih senang memilih untuk berkarya dengan cara yang lebih mudah. Beliau ialah ZF Zamir; peribadi yang lewat ini dikenali kerana mengkritik Amran Fans sampai rebah, mengkritik DBP dan badan-badan berotoriti lain atas kekurangan mereka melakukan inisiatif untuk menyuburkan budaya membaca melalui jalan penerbitan buku dan karya yang berkualiti.

Hujung minggu lepas, saya mendapat jemputan ke rumah kawan baik yang terletak di Johor Bahru. Pagi pengembaraan #KeSelatan, tidak punya masa untuk berfikir panjang, buku harus dibawa. Itu tradisi; baca atau tidak itu belakang kira. Satu satu buku saya tilik, mana yang harus saya pilih untuk menemani perjalanan kali ini? Berhenti, ambil dua buku di rak, naskhah BDJUSDDC dan Cerpen-Cerpen Underground Faisal Tehrani. Jalan terus ke TBS. Saya menyelak helaian pertama buku ini selepas membalas mesej-mesej Whatsapp yang penting; kurang lebih 30 minit selepas bas mula bergerak. 

Pertama kali membaca tajuknya mungkin akan memberi bayangan bahawa buuku ini bakal membawa pembaca untuk menikmati kisah cinta pasangan ZF Zamir dan perempuan aisnya. Sama sekali silap pandangan awal tersebut. Buku ini hampir tiada disebutkan kisah pertemuan dengan perempuan aisnya. Cuma saya masih belum memahami signifikan tajuk buku ini. Jogjakarta mungkin kerana tempat beliau mula mengembara atas tujuan mengenal semula diri sendiri melalui jalur kekeluargaan. Christiana; masih menjadi tanda tanya bagi saya dan 'Si Dia' juga masih belum saya kenali kerana kisah di Christiana hanyalah satu bab dan hanya seorang perempuan sahaja yang dia temui di Christiana. Perempuan itu menjual marijuana. Namun, jika direnung ayat di bawah, sepertinya bukan peniaga marijuana ini yang dimaksudkan dengan 'Si Dia',
"Menurut arus muzik Si Dia kemudian menari dalam lenggok yang paling romantis sekali. Di antara tarian yang mengghairahkan itu, Si Dia menguntumkan senyuman indah yang tepatmenuju jantungku. Sehingga pada satu saat Si Dia terjatuh. Dan saat itu Si Dia temukan, perjalanan paling jauh dan sukar bukanlah merentas benua mahupun melawan ombak-ombak di lautan. Tetapi perjalanan mencari dan menemukan dirinya sendiri.
Mungkin juga 'Si Dia' itu dirinya sendiri. Entah. Masih misteri bagi saya.

Buku ini membawakan konsep atau tema travelog. Namun bukan sekadar catatan perjalanan biasa seperti "hari ini ke Indonesia, makan pun sedap dap dap". Tapi, perjalanan yang membawa pelbagai makna.

Cover lama

Kemanusiaan

Ini merupakan persoalan yang dominan dalam buku ini. Cerita dari pelbagai tempat dibawakan dalam buku ini. Antara perbualan penulis dengan Musa di Syria,

"Kami kalau dalam bulan puasa, dalam seminggu akan ada sekali atau dua orang Syria ajak buka puasa kat rumah. Ada sekali kami pergi, mereka hidang makanan mudah tapi banyak,"
"Kami pun makan sampai tak ingat dunia sebab sedap. Bila dah kenyang, talam kami dia angkat masuk dapur. Dia hidang teh pulak. Saya bangun basuh tangan. Bila lalu dapur nak ke tandas, terus menangis, tengok anak bini dia duk kerumun makan sisa talam yang kami tak habis tadi." (Satu Malam di Khemah Pelarian) 

Dalam hal Palestin, hatta dalam perihal makanan, beliau agak sensitif,
"Aku keluar dari barisan untuk mendapatkan Falafel itu dengan hati yang serba bengkak. Di satu hujung, aku ingin sekali merasa entah bagaimana rasanya Falafel kaum Yahudi Eropah ini? Di satu hujung lagi, perasaanku memberontak tatkala menginginkan golongan inilah yang menggempur dan membunuh anak-anak sekolah di Gaza tiap kali Ramadhan." (Melayu Sesat di Marais)

Sejarah

Bermacam kisah sejarah telah disingkap dalam buku ini. Antara kisah-kisah dalam sejarah kemanusiaan yang telah penulis muatkan dalam naskhah kali ini ialah kisah India dan Taj Mahalnya, Revolusi Perancis, kisah kesan Perang Dunia Kedua di Jerman dan macam-macam lagi.

"Jerman Timur yang dikuasai Rusia membina Tembok Berlin ini sejauh 43.7 km melepasi Berlin dan 112.7 km mengelilinginya. Rekod Polis Jerman Barat yang dikuasai Amerika dan suku sakat depa pula menyatakan antara 1961 dan 1989, 5075 orang berjaya melepaskan diri melalui tembok berkenaan, 1709 kes di mana polis menggunakan senjata dengan 119 kecederaan, 456 perlu ditembak ke Jerman Barat dan kononnya hanya 14 peluru ditembak ke arah Jerman Timur, 37 serangan bom terhadap Tembok dengan 136 kematian direkodkan terhadap orang yang ingin melintasi Tembok ini." (Bunker Hitler di Bawah Berlin)
Sejarah Jerman ini masih baru sahaja berlalu dalam 20 ke 30 tahun yang lalu, jika hendak dinilai perihal masa dalam pensejarahan. Bagaimana mungkin sebuah negara bangsa terbahagi dua akibat ketamakan kuasa. Namun, naratif ini sentiasa berulang dalam pembinaan naratif sejarah yang baru pula.

Ukhuwah atas dasar Islam

Persoalan ini mungkin agak jengkel bagi penulis. Namun, pandangan saya, beliau punya nilai dan sentimen ini. Lihat petikan di bawah,
"Sifat manusia? Kau tahu, di Srebrenica saja dalam masa 3 hari, 8372 orang dibunuh. 3,372 kanak-kanak dibunuh atau hilang menurut 'Sarajevo-based Research and Documentation Centre'. 2.2 juta menjadi pelarian, 330 mortar atau bom purata diarahkan ke kawasan berpenduduk Muslim setiap hari, 2000 mortar atau bom  pernah diarahkan ke dalam Sarajevo dalam masa sehari..." (Sarajevo Aku Datang!)
Bagi mereka yang bukan beragama Islam, mungkin keinginan untuk memasukkan sisi-sisi perjalanan di bumi Bosnia agak cair.

Pelajaran yang mungkin boleh kita ambil melalui bacaan ini:

1. Pengetahuan tentang sejarah sesuatu tempat menjadikan pengembaraan itu lebih bermakna. Teringat seorang kawan ketika diberitahu ibu dan ayahnya akan ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadah umrah, dia segera mengulang buku Sirah. Percayalah, perjalanan akan menjadi lebih sentimental dan disulami kerinduan!

2. Perjalanan juga akan lebih bermakna dengan sekadar cukup sisi material; bukan berlebihan. Sepertimana puasa, kita belajar untuk menjiwai kehidupan mereka yang tidak punya apa dalam neraca kebendaan. Jika wang tinggal sedikit, ikhtiar lakukan kerja-kerja gila macam minta bantuan orang lain meski berbeza bahasa pertuturan, indah bukan? Busking dengan suara yang mengundang hujan dan guruh; mesti memalukan dan kelakar, bukan?

Yang paling penting, dalam kekurangan, hati kita akan lebih terikat dengan Tuhan. Bila lagi?

Buku ini merupakan travelog terbaik yang pernah saya baca kerana menggabungkan elemen-elemen kemanusiaan, Islam, cerita sejarah, rencah ideologi dimuatkan. Kemudian, Tuhan sendiri menggalakkan kita menekuni kesan-kesan Sejarah dan meluaskan jangkauan mata. Akhirnya, perubahan yang bagaimana kita ingin lakukan lantaran pengajaran-pengajaran yang kita temukan dalam perjalanan kita?

Wassalam

P/s: Dua buku tak sempat di-review; Tsawabit Amal Islami dan Classical Liberalism. Dua buku Inggeris masih gagal dihabiskan; Justice as Fairness: A Restatement dan Anarchy, State and Utopia.

Rabu, 25 Mei 2016

Not the Same

Bismillah

*****
052216

Last night was a different night for him. For months, he did not felt the way he felt last night. Just like being hit by a big and hard object such as rock on his head. His neck could not withstand the pressure and the heaviness of his head as he was questioned on this 'thing'.

He woke up early in comparison with the other night. Those questions kept bother his mind though his eyes give 100% attention on Copa Del Rey final between Barcelona and Sevilla.


*****
It may sound absurd but don't be naïve
Even heroes have the right to bleed
(Five for Fighting, Superman) 
Wassalam
 

QOTD #7: Budaya Backpackers

Bismillah.

"Dalam budaya backpackers;  mengembara bukanlah seumpama melancong. Hidup seharian perlu diteruskan dengan baki wang yang ada malah perkara yang lebih penting adalah makna diri yang hadir selepas berakhirnya pengembaraan melalui pertukaran budaya dan sudut pandang yang lebih luas." (ZF Zamir, Backpackers: Sub-Budaya Anak Muda)

Menarik. Tunggu mampu dahulu; masa dan kewangan. Moga diizinkan Tuhan suatu hari nanti.

Rabu, 18 Mei 2016

Pancit

Bismillah

Dua minggu. Dua minggu sudah, jika hendak dihitung, kali terakhir saya berjogging.

Satu: Nampak seorang lelaki berbangsa Cina jogging dengan baju tanpa lengan berwarna biru.

Dua: Nampak lelaki yang sama; kami berlari dalam arah yang sama, cuma di bahu jalan yang bertentangan. Di persimpangan, saya ke kiri manakala dia memilih untuk ke kanan.

Tiga: Lelaki yang sama lagi; dalam arah yang bertentangan pula.

Nah, tandanya apa?

Dah semakin perlahan rentak dan kecil langkahnya. Sampai tiga kali berjumpa dengan orang yang sama meski saya guna satu jalan sahaja. Malah, semalam culas dengan memilih jalan pendek untuk sampai ke destinasi, ditambah dengan sempat berjalan. Pancit. Tidak seperti petang-petang yang biasa.

Sebabnya?

Satu: Perut kosong, tak makan tengah hari. Sebelum keluar jogging, tak sempat mengisi perut. Air pun tak dicapai.

Dua: Kali ini tak menyumbat telinga dengan earphone. Kalau tak, boleh bawa perhatian terhadap lirik lagu-lagu yang didengar. Semalam, yang bermain dalam fikiran hanyalah kepenatan dan perkataan 'berhenti'. Moral jatuh. Maka, berhenti sahajalah jawapannya.

Duh, tengok. Sedangkan perkara kecil seperti jogging ini pun perlukan persediaan yang rapi untuk mencapai sasaran.

Justeru, apa lagi sasaran kita yang besar.

Watazawwadu Fa-inna Khayra Zaad at-Taqwa

Wassalam

(macam mana nak friendly dengan Baitul Mukmin ni?)

Jumaat, 13 Mei 2016

Kerisauan Kita

Bismillah

Entah, dalam kehidupan dunia, senantiasa sahaja kita mengimpikan macam-macam perkara. Karier yang stabil dan kewangan yang lestari untuk menyara anak dan isteri. Malah, kadang-kadang dalam kehidupan yang bakal menjadi hasil pelaburan kita di dunia juga, kita tetap mempunyai harapan-harapan. Kita ingin meningkatnya keupayaan dalam mengahafal al-Quran, istiqamah dalam menunaikan solat berjemaah subuh di masjid dan sebagainya.

Andai kata kita sudah tua, tanda-tanda kematian sudah terzahir dan paling rumit, tiada anak; apa yang kita risau dan harapkan?

Antara kerisauan utama mungkin pewarisan harta; siapa yang akan mewarisi sedikit sebanyak harta yang kita kumpulkan?

Bagi yang mempunyai perniagaan sendiri; siapa pula yang akan mengambil alih perniagaan yang telah beliau melaburkan sebahagian besar kehidupannya di syarikat tersebut?
Kalau perempuan nampak budak ini masa event, mesti akan ada suara, "eeee, comelnya" ;p

Ajaib, ya. Ajaib apabila memikirkan semula kalam orang yang telah mendahului kita. Perbualan ini Allah rakamkan dalam al-Quran,

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan (3)
Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu. (4)

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. (5)

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai". (6)
(Maryam: 3 - 6)

Dalam kemustahilan fizikal, Allah menjawab doa dengan menghadiahkan anak; pemberian yang sering didamba pasangan yang sudah bernikah. Mustahil, dakwa Zakaria, tulus dalam permohonannya. Lihat sahaja fizikal Zakariya AS; lemah tulang, rambut yang dominannya putih dan mandul pula isterinya. Kuasa doa yang ikhlas berserta adabnya, Allah kurniakan Yahya AS. Alhamdulillah.

Namun, yang lebih menarik ialah kerisauan utamanya ialah bukan kerana apa-apa, tetapi kebimbangannya akan masyarakat yang berada di sekelilingnya. Masyarakat memerlukan kehadiran seorang pendidik dan pendakwah yang sering mengingatkan akan amal yang perlu dilakukan atau ditinggalkan. Itu matlamat Zakariya AS tika memohon kepada Allah supaya mengahdiahkannya anak. Kiranya, matlamat besar kita mempunyai anak, jika Allah rezekikan, ialah untuk mendidik beliau menjadi seorang pendakwah ke jalan Allah.

Jika kita, mungkin soal mempunyai zuriat itu soal hendak berseronok, ber'selfie' dan berlari bersama. Ya, tak salah tapi kita perlu jelas akan tujuan asalnya. Di atas itu harapan Zakariya AS ketika belum dikurniakan anak. Lihat pula harapan para Anbiya' yang sudah mempunyai anak,

Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Tunduk patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam". (131)
Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yakub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam". (132)
 Adakah kamu hadir ketika Yakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya." (133)
(Baqarah: 131 - 133)

Begitu keprihatinan para Nabi apabila mereka dikurniakan anak dan itu jugalah kerisauan mereka apabila mereka sudah merasakan tiba masanya bagi mereka meninggalkan kefanaan dunia. Anak-anak dan sembahan mereka setelah mereka tiada yang menjadi sebahagian kalam akhir mereka. Adapun hal-hal seperti harta tidak pernah ditekankan pula dalam al-Quran. Islam dijadikan agenda utama dalam fikiran mereka. Nah, berapa pula tempoh yang kita gunakan untuk bertafakur akan kemaslahatan masyarakat dan dakwah? 

Jika tiada anak?

Soalan ini sentiasa bermain dalam fikiran lelaki dan perempuan yang belum bernikah. Sebentar, kita cuba cari alternatif lain ya? Premisnya, Islam harus disampaikan walau apa cara sekalipun kerana ia merupakan arahan Allah. Nuh AS tidak mampu meng-Islam-kan zuriatnya. Ternyata usaha Nabi Nuh sudah sangat kuat, 950 usia kehidupannya. Lihat juga Muhammad SAW dalam usahanya untuk menyelamatkan bapa saudaranya, Abu Thalib. Khalilullah Ibrahim AS juga tidak mahu ayahnya Azar untuk mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah. Akhir sekali kawan, Allah jualah yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki. Namun, ini bukan alasan untuk culas dalam melaksanakan kerja dakwah ya! Usaha.

Jawapannya, carilah orang yang mampu kita ajak kebaikan kepadanya. Mungkin juga orang yang mampu kita tegur kesilapan-kesilapannya. Rasulullah bersabda, 

"Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun." 
 (HR Muslim no. 1017)

Kalau kita cuba mengambil ibrah daripada ayat al-Quran dan hadis di atas, kita cubalah sehabis daya untuk mewariskan kefahaman Islam yang sebenar kepada sesiapa yang kita mampu. Untuk saya sendiri, wajib untuk sentiasa menambah kefahaman tentang Islam, kerana itulah modal kita.

Jadi, sebenarnya kita boleh sahaja beramal. Punya anak atau tidak bukanlah perkiraannya. Jika mempunyai anak, itu rezeki dan tanggungjawab. Kalau belum tiba lagi anaknya itu, nescaya Allah akan buka pintu rezeki daripada arah lain. Yang penting, kita menyimpan kesungguhan yang benar untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini dengan izin  dan pertolongan Allah.

Wassalam

P/s: Berat sangat sebenarnya tanggungjawab beranak ini.




Rabu, 11 Mei 2016

Sepersepuluh

Bismillah dan Alhamdulillah

Satu per sepuluh.
Sampai ke tahap ini. Walaupun lambat jika nak dibandingkan dengan orang lain, saya mempunyai kembara saya sendiri. Mempunyai sekelumit berbanding manusia lain yang mungkin sudah mempunyai nilai satu (angka penuh), ada yang mempunyai tiga per lima, tiga per sepuluh dan berbagai angka lagi. Kadang-kadang, ia membuatkan saya sedikit cemburu kerana semua orang suka nilai yang besar dalam hal ini. Namun, perjalanan harus diteruskan. Berbaki sembilan per sepuluh, kita hela nafas sekuat-kuatnya dan teruskan. Bila nak habis ya?

Namun tuntutan satu per sepuluh ini masih banyak. Yang satu ini menuntut masa, faham dan kuasa ingatan yang luar biasa. Jadi, kita teguhkan, berjalan dan terus berjalan lagi.

Kau, selamat ya! 
Sembilan, marilah ke sini!

Wassalam

Rabu, 4 Mei 2016

QOTD #6: Keadilan Kepengagihan

Bismillah
"Di sinilah, beliau telah membentuk ide keadilan kepengagihan berlandaskan dua prinsip utama, iaitu:Pertama: semua orang diberikan hak yang sama rata ke atas skema paling ekstensif kebebasan asasi yang saksama, bersesuaian dengan skema kebebasan yang sama ke atas orang lain.Kedua: Ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi adalah dibenarkan selagi (1) kesannya memberi manfaat kepada strata masyarakat paling bawah dari sudut ekonomi dan sosial dan (2) semua jawatan dalam institusi negara mempunyai akses terbuka kepada semua" (Hazman Baharom, Keadilan Kepengagihan dan Tanggungjawab Intelektual Muslim: Satu Pernyataan Awal)