Isnin, 8 Ogos 2016

Buku #8: Conversations with Tunku Abdul Rahman

Bismillah

Sebenarnya pernah mengambil buku ini dan meletakkan semula di rak MPH semula dalam masa ketidak cukupan wang; satu dilema yang sering dihadapi penggemar buku tidak kira genre apa sekalipun. Mengambil masa lebih 30 tahun untuk disiapkan, buku ini merupakan hasil nukilan Tan Sri Abdullah Ahmad hasil temu bual beliau dengan Tunku Abdul Rahman sendiri pada tahun 1982 hingga 1984. Tidaklah janggal akan bagaimana beliau berpeluang untuk menemu bual Tunku kerana dalam tempoh pemerintahan Tunku, beliau merupakan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri pada era Tunku iaitu Tun Abdul Razak; bapa kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang, Dato' Seri Najib.

Kenapa saya berminat untuk mendapatkan buku ini?
Pertama, mungkin kerana terdapat penulis prakata yang saya minat iaitu Prof Khoo Kay Kim.
Kedua, saya tidak faham kenapa IDEAS suka sangat dengan Tunku Abdul Rahman. IDEAS ditubuhkan pada 8 Februari 2010, mengambil semangat Tunku melalui hari kelahirannya. Apa istimewanya Tunku?
Ketiga, saya ingin melihat dan memahami maneuver politik dalam negara. Dalam bahasa haraki, orang selalu menyebut Fiqh Sirah. Jadi, saya mengharapkan naskhah ini merupakan Fiqh Politikal Sejarah Malaysia.



Saya agak sukar membuat kesimpulan daripada buku ini melainkan dengan satu perkataan iaitu pragmatik.

Tunku sangat pragmatik dan bijak menghadapi politik. Beliau tidak terpengaruh dengan ideologi yang tidak menguntungkan politiknya dan rakyat. Antara maneuver politik yang telah dilakukannya ialah:

1. Memasukkan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei dalam Malaysia

Saya tidak pasti bagaimana niat hendak menubuhkan Malaysia boleh berlaku. Namun, menurut Arkib Negara, penubuhan Malaysia bertujuan untuk membendung pengaruh komunis di Malaysia. Namun, itu bukanlah perkara utama yang ingin disentuh. Betapa realisnya Tunku dengan tidak menerima kemasukan Singapura semata-mata. Kemasukan Singapura ke dalam Malaysia akan meningkatkan jumlah rakyat yang berbangsa cina sebanyak 2 juta orang. Ini akan membeeri kesan secara langsung kepada politik UMNO dan status quo bangsa Melayu dalam perlembagaan. Hak-hak istimewa rakyat berbangsa Melayu mungkin akan mula dicabar secara terbuka dan akan dilawan melalui jalan demokrasi; parlimen. Kebijaksanaan Tunku jelas terlihat melalui tindakannya yang tidak bersetuju jika British menganugerahkan kemerdekaan kepada Singapura dengan memasukkannya ke dalam Malaysia. Tunku meminta agar proses dekolonisasi juga harus berlaku kepada Sarawak, Sabah dan Brunei. Jelas, bangsa sangat memainkan peranan yang sangat besar dalam politik Malaysia. 

Entah, mahu bersyukur atau tidak dengan tindakan Tunku ini. Jelas kesannya, yang memimpin Malaysia dari dulu hingga saat ini orang Melayu dan perlu kita akui majoriti orang Melayu beragama Islam. Jadi, tidak pernah lagi dalam sejarah Malaysia, kita ber-Perdana Menteri-kan mereka yang bukan beragama Islam. Akan tetapi, agak bermasalah apabila sesetengah Perdana Menteri yang pernah rakyat angkat ini terlibat dengan korupsi yang maha dahsyat. 

2. Mendapatkan sokongan Raja-Raja Melayu untuk kemerdekaan

Saat itu, Tunku hanya berharap Tanah Melayu dapat dimerdekakan. Kalau ikut logik, apa kerja para raja dan sultan ini. Boleh jadi, sistem ini hanya semata-mata untuk menghormati British. Sebab British pun ada queen mereka. Saya tidak dapat menghadam kata-kata Tunku,

"As for the economics of keeping the monarchy, I think it costs more money to maintain a republic"(Elected Majesty,the Sultans and the Malays, Halaman 143) 
Ikut logik akal yang waras, pastilah kos perbelanjaan kita akan berkurang dan boleh diagihkan kepada perbelanjaan yang lain seperti untuk mengurangkan kesenjangan antara golongan kaya dan miskin dalam Malaysia.

Walau bagaimanapun, Tunku mendapatkan sokongan Raja-Raja Melayu hanyalah kerana itu merupakan kehendak Raja-Raja jika kita ingin merdeka. Sistem pemerintahan pada masa itu telah lama di-asosiasikan dengan sistem beraja. Oleh itu, restu sultan dan raja sangat penting untuk mendapatkan kemerdekaan. Boleh jadi juga British akan menolak kehendak Tunku untuk merdeka jika tidak meneruskan dan mewarisi sistem monarki ini.

3. Terhutang Budi dengan British

Beliau pernah dikritik kerana memberikan Carcosa kepada British. Malah, perhimpunan agung UMNO ketika UMNO dipimpin Tun Mahathir pernah bersidang untuk menarik semula hadiah yang pernah diberikan kepada British. Buruk siku, kata orang tua kita. Hubungan yang baik terus dijaga pasca-kemerdekaan kerana negara kita merupakan negara yang sangat kecil dan masih bertatih dalam menghadapi kerencaman politik antarabangsa. Antara manfaat yang diperoleh Malaysia hasil hubungan baik adalah ketenteraan. Malaysia pernah mendapat bantuan British dari segi ketenteraan. Bahkan, melalui hubungan baik dengan British, Malaysia mendapat bantuan juga dari Australia dan New Zealand. Kata Tunku.

"They made us conscious of education"
"They had been good to us, you know. They helped us during the Indonesian Confrontation and against the Philippines claim to Sabah. At one time we had much trouble on our hands, and the British were with us." (The British, Lee Kuan Yew and the Malaysia Split, halaman 89) 

Selain itu, ternyata Tunku juga seorang yang memikirkan kepentingan rakyat. Jadi, tidak menjadi kebingungan IDEAS mengangkat Tunku sebagai tokoh yang disanjung tinggi. Beberapa kali beliau melafazkan kata-kata seperti ini dalam buku ini:

"I criticise them because I am a man of the people. If I consider myself a member of the royal family, I would support them but I never back the, against the rakyat...against the wall!"(Elected Majesty,the Sultans and the Malays, Halaman 140) 
Dan pelbagai lagi perkara menarik yang disentuh dalam buku ini seperti polisi-polisi luar Malaysia seperti rapat dengan British dan Thailand, perbezaan pendekatan yang diambil Tunku dan Soekarno, dan pandangannya terhadap beberapa tokoh Malaysia.

Serius, menarik buku ini. Recommended. Akan tetapi, bagi saya, buku ini hanyalah sekadar teaser. Untuk faham lebih terhadap sejarah, kena beli buku lain pula.

Dan, sesuai juga ya post kali ini dengan tema bulan ini iaitu bulan kemerdekaan. Beliaulah Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia!

Wassalam.

P/s: Janggal sungguh setelah hampir 2 bulan meninggalkan dunia penulisan. Harap kalian faham sahaja tulisan kali ini ya!