Khamis, 17 September 2015

Kesalahan Paralaks dalam Sains Sosial

Pada awal pembelajaran subjek Sains, setiap individu akan melalui topik yang membicarakan tentang kesalahan-kesalahan yang akan wujud dan dilakukan oleh sesiapa dalam proses pembuktian sesuatu teori sains. Antara kesalahan tersebut ialah kesalahan paralaks (baca: parallax error). Kesalahan paralaks berlaku apabila kita gagal meletakkan mata kita setentang dengan paras akhir objek yang patut kita lihat iaitu sembilan puluh darjah daripada objek. Terminologi ini sering kita dengar dalam Sains Tabii, akan tetapi penulisan ini akan merungkai frasa ini dalam sudut Sains Sosial pula.

*****

Pagi Ahad yang lalu, saya dijemput untuk berkongsi tentang pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripada filem Bajrangi Bhaijaan, sebuah filem Bollywood yang sangat menarik. Untuk ulasan yang lebih substantif, satu post lain mungkin akan ditulis berkenaan filem tersebut. Semasa menonton filem tersebut bersama peserta, tiba-tiba saya mendapat mesej daripada seorang penulis yang keras dan melawan di halaman Facebook. Mesejnya adalah jawapan kepada permintaan saya sendiri untuk mengambil buku yang telah lama dibeli olehnya di Indonesia. 

"Buku hang sampai Bangi dah woi"
(27 Ogos)

"Di mana?"
(27 Ogos)

"Bos, buku di Bangi, di mana?"
(12 September)

"Waze Garaj T****l, Seksyen 15."
(13 September)

Usai makan tengah hari, saya terus bergegas ke Bangi semula untuk ke garaj tersebut. Mulanya agak berdebar kerana ini kali pertama bertegur sapa untuk bersembang. Setelah melangkah masuk dan memberi salam, saya berjabat tangan dengannya dan pekerjanya. Saya duduk bersama mereka di atas kerusi di tengah garaj dan mula berkenalan. Tiba-tiba satu soalan terpacul daripada mulut penulis tersebut,

"Jom keluar weh! Tapi sebelum tu, aku nak solat dulu"

Kelu dan terpaku. Orang yang kuat perlawanannya dalam media sosial, lunak hatinya dalam sudut bertuhan.

Buku yang dibeli dengan tangan beliau



*****

Kesalahan Paralaks yang Real

Kesalahan paralaks yang real ialah kesalahan kita sendiri dalam menilai manusia yang sama seperti kita. Kadang-kadang, kita menilai manusia hanya melalui cara berpakaian dan cara mereka menulis dalam media sosial. Saya bersetuju jika perkara-perkara tersebut diambil kira untuk menilai seseorang secara keseluruhan. Akan tetapi, jika ingin menilai seseorang solat ataupun tidak hanya dengan melihat cara berpakaian dan tingkah laku media sosialnya, agak kurang sesuai.

Jika kita meletakkan dua perkara tersebut sebagai kayu ukur, nescaya Abdullah bin Ubay juga kita akan cop sebagai ahli syurga dan tauhid-sentrik. Manakan tidak, dia memang tergolong dalam kumpulan orang Islam pada masa itu. Dia bersama dalam rombongan menuju Uhud, CUMA berpatah balik selepas itu. Pakaiannya juga mungkin persis Muslim biasa pada zaman itu, mungkin berjubah atau bergamis. Tetapi, cara berpakaian dan muamalah dengan manusia bukan rubrik yang kamal (baca: sempurna) dalam menilai hubungan manusia dan Tuhan-Nya.

Pesan al-Quran dan Sirah


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagaian daripada prasangka itu dosa..."
(Az-Zumar, 49 : 12)

Syed Qutb meletakkan ayat ini di bawah tajuk "Undang-undang Memelihara Kehormatan Anggota-Anggota Masyarakat Islam".[1] Menariknya tajuk tersebut kerana Syed Qutb memikirkan bahawa bersangka baik adalah antara adab dan rukun dalam hidup bermasyarakat. Akan tetapi, saya merasakan ayat ini sentiasa releven dalam mana-mana kumpulan masyarakat sekalipun. Masyarakat majoriti Muslim, mahupun minoriti, ayat ini sentiasa menegaskan bahawa berprasangka itu adalah tidak beretika kerana kita tidak tahu prasangka yang mana yang akan membawa dosa. Oleh itu, menjauhi prasangka sentiasa dan mampu mengharmonikan masyarakat, malah menjauhkan diri kita daripada dosa.

Pulang daripada peperangan Bani Musthaliq, satu peristiwa yang cukup memedihkan hati Ummul Mukminin telah berlaku, Peristiwa yang dinamakan Hadith al-Ifk telah berlaku. Dalam menyikapi fitnah yang tersebar, Rasulullah agak tenang. Aisyah mengatakan bahawa Rasulullah tidak menerima wahyu daripada Allah selama sebulan. Akan tetapi, Rasulullah mengatakan,


"Wahai Aisyah, jika engkau telah melakukan dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya, jika seorang hamba itu mengakui dosanya, kemudian dia bertaubat kepada Allah, maka Allah pasti menerima taubatnya."

Tidak sempat Rasulullah berganjak daripada tempat duduknya, turunlah wahyu yang mengangkat fitnah daripada Aisyah. Maka, bergembiralah dua insan mulia tersebut. 'Ibrah daripada peristiwa tersebut, Prof. Dr, Ali Ash-Sholabi mengatakan bahawa Allah memerintahkan agar orang beriman sentiasa menjaga pendengaran mereka dan bersangka baik kepada saudaranya yang lain, berdasarkan ayat: [2]

"Mengapa ketika kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah satu berita bohong yang nyata.""
(An-Nur, 24 : 12)

Masa Kini: Antara Cabaran Pendakwah

Jika zaman Rasulullah pun kita sukar untuk menilai hati seseorang, malah mereka berpakaian sebagaimana Rasulullah berpakaian. Apatah lagi masa kini, zaman yang sangat jauh daripada Rasulullah. Dengan cabaran globalisasi dan konsumerisme, cara hidup manusia juga sudah berubah. Cara berpakaian manusia juga berubah, Jubah juga sudah ada potongan ramping (baca; slim fit), malahan manusia juga sudah biasa ber-jeans. Oleh itu, bersikap prejudis terhadap mereka yang berpakaian seperti itu adalah salah sama sekali, malah menutup peluang dakwah. Secara teorinya, mereka tidak bersalah. Memakai jeans bukan bermaksud tidak menutup aurat. Menulis dengan bahasa yang agak keras dalam media sosial juga tidak bermakna mereka melanggar had, melainkan mereka menulis perkara berbaur tuduhan dan larangan-larangan Allah dalam surah al-Hujurat. Akan tetapi, tasawwur kita yang perlu dibaiki.

Naqib kami ketika membahaskan tentang pembahagian manusia dalam Risalah Dakwatuna Imam al-Banna mengatakan bahawa pembahagian ini adalah bertujuan untuk memudahkan para pendakwah memilih pendekatan yang sesuai berdasarkan objek dakwahnya, bukan bersikap selektif dan dalam memilih objek dakwah. malahan, bukan tugas kita berhukum ke atas objek dakwah.

Untuk maju ke hadapan, pendakwah perlu membuang sikap prejudis dan skeptik terhadap sesiapa pun. Selain itu, rajinkanlah diri bergaul dalam masyarakat.

Bebaskan dirimu daripada kesalahan paralaks ini. Menjadi pendakwah bukan bermaksud kita berhukum sebagai Tuhan, bukan?

Selamat Hari Malaysia!


_____________________________________________________________
-
[1] Syed Qutb, Fi Zhilal al-Quran, cetakan pertama. (Kuala Lumpur: Pustaka Darul Iman, 2010) hlm. 123.

[2] Prof Dr Ali Ash-Sholabi, Sejarah Biografi Rasulullah, cetakan pertama. (Jakarta Timur: Pustaka al-Kautsar, 2012) hlm. 176.

Jumaat, 4 September 2015

Buku Idaman


Sengaja buat post ini sebagai simpanan. Jikalau ada yang berminat untuk menyumbangkan duit agar tuan hamba dapat membeli buku-buku ini, apalah salahnya? Daripada kalian belanja untuk pergi karaoke mahupun wayang.

Mungkin akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

1. Thomas Piketty - Capital in the 21st Century


2.  Thomas Piketty - The Economics of Inequality


3. Farish Ahmad Noor - The Malaysian Islamic Part 1951-2013: Islamism in a Mottled Nation




As for now, these are 3 books that I'm dying to have. Along our journey to build the new world order and civilization, the list will go down with more and more books. Tamannaw! 



Jazakallahu khayr.


Selasa, 1 September 2015

Bersih 4.0: Jom Bina Karakter Kosmpolitan!

Bismillah

Dengan izin-Nya, penulis dapat turun buat kali kedua ke demonstrasi Bersih 4.0 setelah pulang sebentar pagi 30 Ogos. Tidak perlu dinyatakan lagi, Bersih dianjurkan untuk menyatakan hak-hak rakyat Malaysia kepada pemerintah kita. Tiba pukul 5.30 petang selapas 'Asar di Masjid Negara, penulis mencari tempat untuk duduk sebentar melakukan aktiviti kendiri. Dalam proses mencari sempat singgah ke satu spot promosi organisasi dan membeli majalah mereka. Majalah Solidariti Pekerja, maka tahu-lah kan organisasi apakah itu?

Akhirnya, dapatlah tempat untuk duduk. Baca Quran dan layan Slavoj Zizek sebentar (buku yang sama dengan tulisan sebelum ini). Dalam keasyikan melayan Zizek, tiba-tiba kepala ini mula merasa sesuatu telah meragut kekeringan kulit pada petang hari. Rupanya, hujan mula membasahi bumi demonstarsi Bersih 4.0. Para demonstran mula mencari tempat berteduh. Tiba-tiba, seorang lelaki berbangsa Cina berteriak tidak jauh daripada penulis, Mafhumnya,

"Jangan risau, jangan panik! Nanti itu Muslim sembahyang dan doa, hujan itu akan berhenti"

Terkedu penulis, tanda teruja. Bagi penulis, ini sudah mencapai tahap kefahaman bagi seorang Muslim. Allah itu adalah Maha Mendengar (As-Sami') dan Dia juga yang memperkenankan permintaan hamba-hamba-Nya selagi mana hamba hamba tersebut meyakini bahawa Allah akan menunaikan doa mereka.

Selepas itu, penulis menuju ke gerai-gerai makanan untuk tujuan mengisi perut sebelum maghrib dan sebelum manusia mulai sesak di hadapan pentas utama. Jadi, penulis membeli makanan dan makan di hadapan lot kedai berkerusikan tumit kaki kiri. Tiba-tiba ada seorang ibu yang berbangsa Melayu panggil berkali-kali,

"Adik, adik, ini!" Sambil menunjuk kepada seorang kakak berbangsa Cina yang berusia pertengahan 20-an.

Rupanya dia mahu memberikan kerusi. Terharu seketika. Puas menolak, namun dia tidak akan berpuas hati selagi mana saya tidak mengambil kerusi itu. Habis sahaja makan, saya bertanya kepada kakak itu sama ada dia sudah makan atau belum. Jika belum, saya ingin belikan makanan sebagai usaha membalas budi. Malangnya, dia sudah membeli makanan. Sebagai tambahan budi, dia memberi saya tisu basah untuk membersihkan tangan saya. Semakin bertambah budi, tidak dapat pula saya balas melainkan dengan ucapan terima kasih.

Menjadi Kosmopolitan: Persis Rasulullah

Suatu ketika dahulu, Zaid bin Haritsah pernah diculik dan dibawa lari ke Mekah. Kisah ini normal seperti mana kita mendengar kisah Salman al-Farisi juga dibawa lari segerombolan pedagang untuk dijual. Bahasa modennya, human trafficking. Jenayah ini jugalah yang telah membawa Zaid dari Yaman ke bumi Bakah. Beliau dijual kepada hamba kepada Khadijah, lalu Rasulullah meminta izin kepada hamba Khadijah untuk membeli Zaid. Setelah diizinkan (tidak pasti sama ada dengan membeli atau secara percuma), Zaid diserahkan kepada Rasulullah. Dalam sela masa kehilangan Zaid, keluarga Zaid juga mengiklankan kehilangan Zaid dan menawarkan hadiah kepada sesiapa yang menjumpainya. 

Dalam beberapa tempoh, berjumpalah seorang pedagang akan Zaid di Mekah dan disampaikan berita itu kepada keluarga Zaid. Maka, datanglah keluarga Zaid kepada Nabi Muhammad untuk menuntut semula hak mereka. Keluarga Zaid menawarkan kepada Rasulullah hadiah jika Rasulullah memberi semula Zaid kepada mereka tetapi Rasulullah menawarkan kebebasan kepada Zaid untuk memilih sama ada mahu bersama keluarganya atau ingin kekal hidup bersama Rasulullah.

Kata Zaid, "Aku di sini bukanlah untuk memilih salah seorang di antara kalian. Ketahuilah (wahai Rasululullah), bagiku engkau adalah ayah dan sekaligus seorang bapa saudara."

"Celaka engkau! Mengapa engkau lebih memilih perbudakan daripada kemerdekaan. Mengapa engkau lebih suka meninggalkan ayahmu, pamanmu, dan keluargamu?" balas orang tuanya.

"Ya, memang benar. Sungguh aku melihat sesuatu yang membuat aku tidak mempunyai pilihan lagi kepada seorang pun kecuali mengikutinya untuk selamanya," 
demikian pertanyaan Zaid dengan tegas.[1] 

Perkara yang paling menakjubkan dalam kisah ini ialah bagaimana seorang anak yang waras boleh memilih orang yang asing baginya, iaitu Rasulullah berbanding bapa dan bapa saudaranya sendiri untuk dijadikan majikan dalam kehidupan. Namun, akhlak dan cara layanan Rasulullah boleh menjustifikasi tindakan Zaid memilih untuk bersama Rasulullah walaupun berbeza budaya dan bangsa. Banyak lagi kisah yang menunjukkan budi baik Rasulullah kepada mereka yang bukan berbangsa sama dengannya.

Kisah Hang Tuah: Hero Pejuang Tanah Melayu

Sengaja memilih Hang Tuah kerana hampir semua rakyat Malaysia bersetuju bahawa Hang Tuah ada sifat merakyat termasuklah ahli UMNO dan juak-juaknya. Jika kita membaca karya-karya yang mengisahkan tentang Hang Tuah, kita akan tahu bahawa Hang Tuah  bersifat kosmopolitan walaupun beliau ada sisi-sisi gelapnya. Pernah satu ketika Hang Tuah diarahkan ke satu tempat, lalu diungkapkan madah ini,

"Mendengar sembah Laksamana dengan bahasa Nagaram itu, 
maka Kisna Rayan dan Bendahara Mangkubumi dan segala raja-raja 
dan menteri-menteri yang mengadap itu pun hairan terchengang-chengang, 
kerana melihat Laksamana tahu bahasa Nagaram itu. 
Maka Kisna Rayan juga gemar melihat laku Laksamana berkata-kata itu dengan 
bahasa Keling yang faseh lidah-nya dan manis muka-nya, 
dan dengan merdu suara-nya; patut ia berkata-kata itu.

Maka titah Kisna Rayan: "Hai Laksamana, Kau ini peranakan apa?"

Maka sembah Laksamana, "Ya tuanku shah alam, patek ini peranakan Melayu, tapi patek dari kechil-kechil ke-Majapahit, maka patek belajar mengaji bahasa Keling dari pada sa-orang Lebai; maka oleh itu patek mengerti sedikit bahasa Keling itu."[2]

Begitu disanjung Hang Tuah di bumi tersebut lantaran kemampuannya untuk bertutur dan memahami budaya negeri tersebut. Kisah Hang Tuah persis cerita Rasulullah yang dihantar ke Bani Sa'ad untuk belajar di tempat yang masih mengekalkan estetika budaya dan bahasa. Perkampungan seperti ini penting untuk mengekalkan keaslian dan ketulenan sesuatu budaya. Malah, Rasulullah juga menggalakkan Zaid bin Thabit untuk belajar bahasa lain.

Memahami Realiti Malaysia

Kita harus sedar bahawa untuk memiliki negara yang baik dan aman, semua pihak harus mempunyai common good, perkara yang sama-sama kita persetujui sebagai kebaikan. Sebagai permulaan, engagement perlu diadakan di peringkat organisasi manakala di peringkat individu, hubungan baik harus diperbanyak. Kadang-kadang, kita ini terlalu mudah percaya berita-berita di dada akhbar arus perdana yang memburuk-burukkan bangsa lain sedangkan realitinya mereka tidak sebegitu. Mudah sangat termakan zhon (sangkaan)? Bukan tabayyun-kah yang menjadi resmi kita? Namun, tidak dinafikan ada sahaja yang bersifat ekstrem tapi jika hendak dibandingkan dengan mereka yang tidak ekstrem, tidaklah terlalu signifikan. 

Setelah common good dicapai hasil konsensus dipimpin Muslim demokrat, ada kemungkinan mereka akan mula percaya bahawa Islam itu membawa rahmah kepada seluruh 'alam. Kepada Muslim, sudah tiba masanya kita memperkukuh hubungan baik dengan saudara-saudara kita dalam kemanusiaan. Mahu kencang lagi, masing-masing boleh berusaha untuk menggilap potensi berbahasa Mandarin dan Tamil. Bahasa Arab wajib!

Malaysia Menuju Negara Rahmah!

Bonus sempena Bersih: Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasapun seolah menjadi hartanya.[3]






________________________________________

[1] Prof Dr Ali Ash-Sholabi, Sejarah Biografi Rasulullah, cetakan pertama. (Jakarta Timur: Pustaka al-Kautsar, 2012) hlm. 136.

[2] Farish A Noor, What Your Teacher Didn't Tell You, cetakan kesembilan, (Petaling Jaya: Matahari Books, 2009) hlm. 236.

[3] A. Samad Said, Di Atas Padang Sejarah, cetakan pertama, (Subang Jaya: Wira Bukit Sdn Bhd, 2013) hlm. 44.