Jumaat, 27 Mei 2016

Buku #7: Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia di Christiana (BDJUSDDC)

Bismillah.

Buku ini telah lama saya beli. PBAKL yang terakhir di PWTC; tahun 2014. Penulisnya pasti mereka yang berminat dengan karya indie kenal dengannya kerana beliau merupakan salah seorang penulis yang keras dalam mengkritik isu-isu dalam negara terutamanya isu pendidikan meski penulis-penulis lain di bawah penerbitan syarikat indie lebih senang memilih untuk berkarya dengan cara yang lebih mudah. Beliau ialah ZF Zamir; peribadi yang lewat ini dikenali kerana mengkritik Amran Fans sampai rebah, mengkritik DBP dan badan-badan berotoriti lain atas kekurangan mereka melakukan inisiatif untuk menyuburkan budaya membaca melalui jalan penerbitan buku dan karya yang berkualiti.

Hujung minggu lepas, saya mendapat jemputan ke rumah kawan baik yang terletak di Johor Bahru. Pagi pengembaraan #KeSelatan, tidak punya masa untuk berfikir panjang, buku harus dibawa. Itu tradisi; baca atau tidak itu belakang kira. Satu satu buku saya tilik, mana yang harus saya pilih untuk menemani perjalanan kali ini? Berhenti, ambil dua buku di rak, naskhah BDJUSDDC dan Cerpen-Cerpen Underground Faisal Tehrani. Jalan terus ke TBS. Saya menyelak helaian pertama buku ini selepas membalas mesej-mesej Whatsapp yang penting; kurang lebih 30 minit selepas bas mula bergerak. 

Pertama kali membaca tajuknya mungkin akan memberi bayangan bahawa buuku ini bakal membawa pembaca untuk menikmati kisah cinta pasangan ZF Zamir dan perempuan aisnya. Sama sekali silap pandangan awal tersebut. Buku ini hampir tiada disebutkan kisah pertemuan dengan perempuan aisnya. Cuma saya masih belum memahami signifikan tajuk buku ini. Jogjakarta mungkin kerana tempat beliau mula mengembara atas tujuan mengenal semula diri sendiri melalui jalur kekeluargaan. Christiana; masih menjadi tanda tanya bagi saya dan 'Si Dia' juga masih belum saya kenali kerana kisah di Christiana hanyalah satu bab dan hanya seorang perempuan sahaja yang dia temui di Christiana. Perempuan itu menjual marijuana. Namun, jika direnung ayat di bawah, sepertinya bukan peniaga marijuana ini yang dimaksudkan dengan 'Si Dia',
"Menurut arus muzik Si Dia kemudian menari dalam lenggok yang paling romantis sekali. Di antara tarian yang mengghairahkan itu, Si Dia menguntumkan senyuman indah yang tepatmenuju jantungku. Sehingga pada satu saat Si Dia terjatuh. Dan saat itu Si Dia temukan, perjalanan paling jauh dan sukar bukanlah merentas benua mahupun melawan ombak-ombak di lautan. Tetapi perjalanan mencari dan menemukan dirinya sendiri.
Mungkin juga 'Si Dia' itu dirinya sendiri. Entah. Masih misteri bagi saya.

Buku ini membawakan konsep atau tema travelog. Namun bukan sekadar catatan perjalanan biasa seperti "hari ini ke Indonesia, makan pun sedap dap dap". Tapi, perjalanan yang membawa pelbagai makna.

Cover lama

Kemanusiaan

Ini merupakan persoalan yang dominan dalam buku ini. Cerita dari pelbagai tempat dibawakan dalam buku ini. Antara perbualan penulis dengan Musa di Syria,

"Kami kalau dalam bulan puasa, dalam seminggu akan ada sekali atau dua orang Syria ajak buka puasa kat rumah. Ada sekali kami pergi, mereka hidang makanan mudah tapi banyak,"
"Kami pun makan sampai tak ingat dunia sebab sedap. Bila dah kenyang, talam kami dia angkat masuk dapur. Dia hidang teh pulak. Saya bangun basuh tangan. Bila lalu dapur nak ke tandas, terus menangis, tengok anak bini dia duk kerumun makan sisa talam yang kami tak habis tadi." (Satu Malam di Khemah Pelarian) 

Dalam hal Palestin, hatta dalam perihal makanan, beliau agak sensitif,
"Aku keluar dari barisan untuk mendapatkan Falafel itu dengan hati yang serba bengkak. Di satu hujung, aku ingin sekali merasa entah bagaimana rasanya Falafel kaum Yahudi Eropah ini? Di satu hujung lagi, perasaanku memberontak tatkala menginginkan golongan inilah yang menggempur dan membunuh anak-anak sekolah di Gaza tiap kali Ramadhan." (Melayu Sesat di Marais)

Sejarah

Bermacam kisah sejarah telah disingkap dalam buku ini. Antara kisah-kisah dalam sejarah kemanusiaan yang telah penulis muatkan dalam naskhah kali ini ialah kisah India dan Taj Mahalnya, Revolusi Perancis, kisah kesan Perang Dunia Kedua di Jerman dan macam-macam lagi.

"Jerman Timur yang dikuasai Rusia membina Tembok Berlin ini sejauh 43.7 km melepasi Berlin dan 112.7 km mengelilinginya. Rekod Polis Jerman Barat yang dikuasai Amerika dan suku sakat depa pula menyatakan antara 1961 dan 1989, 5075 orang berjaya melepaskan diri melalui tembok berkenaan, 1709 kes di mana polis menggunakan senjata dengan 119 kecederaan, 456 perlu ditembak ke Jerman Barat dan kononnya hanya 14 peluru ditembak ke arah Jerman Timur, 37 serangan bom terhadap Tembok dengan 136 kematian direkodkan terhadap orang yang ingin melintasi Tembok ini." (Bunker Hitler di Bawah Berlin)
Sejarah Jerman ini masih baru sahaja berlalu dalam 20 ke 30 tahun yang lalu, jika hendak dinilai perihal masa dalam pensejarahan. Bagaimana mungkin sebuah negara bangsa terbahagi dua akibat ketamakan kuasa. Namun, naratif ini sentiasa berulang dalam pembinaan naratif sejarah yang baru pula.

Ukhuwah atas dasar Islam

Persoalan ini mungkin agak jengkel bagi penulis. Namun, pandangan saya, beliau punya nilai dan sentimen ini. Lihat petikan di bawah,
"Sifat manusia? Kau tahu, di Srebrenica saja dalam masa 3 hari, 8372 orang dibunuh. 3,372 kanak-kanak dibunuh atau hilang menurut 'Sarajevo-based Research and Documentation Centre'. 2.2 juta menjadi pelarian, 330 mortar atau bom purata diarahkan ke kawasan berpenduduk Muslim setiap hari, 2000 mortar atau bom  pernah diarahkan ke dalam Sarajevo dalam masa sehari..." (Sarajevo Aku Datang!)
Bagi mereka yang bukan beragama Islam, mungkin keinginan untuk memasukkan sisi-sisi perjalanan di bumi Bosnia agak cair.

Pelajaran yang mungkin boleh kita ambil melalui bacaan ini:

1. Pengetahuan tentang sejarah sesuatu tempat menjadikan pengembaraan itu lebih bermakna. Teringat seorang kawan ketika diberitahu ibu dan ayahnya akan ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadah umrah, dia segera mengulang buku Sirah. Percayalah, perjalanan akan menjadi lebih sentimental dan disulami kerinduan!

2. Perjalanan juga akan lebih bermakna dengan sekadar cukup sisi material; bukan berlebihan. Sepertimana puasa, kita belajar untuk menjiwai kehidupan mereka yang tidak punya apa dalam neraca kebendaan. Jika wang tinggal sedikit, ikhtiar lakukan kerja-kerja gila macam minta bantuan orang lain meski berbeza bahasa pertuturan, indah bukan? Busking dengan suara yang mengundang hujan dan guruh; mesti memalukan dan kelakar, bukan?

Yang paling penting, dalam kekurangan, hati kita akan lebih terikat dengan Tuhan. Bila lagi?

Buku ini merupakan travelog terbaik yang pernah saya baca kerana menggabungkan elemen-elemen kemanusiaan, Islam, cerita sejarah, rencah ideologi dimuatkan. Kemudian, Tuhan sendiri menggalakkan kita menekuni kesan-kesan Sejarah dan meluaskan jangkauan mata. Akhirnya, perubahan yang bagaimana kita ingin lakukan lantaran pengajaran-pengajaran yang kita temukan dalam perjalanan kita?

Wassalam

P/s: Dua buku tak sempat di-review; Tsawabit Amal Islami dan Classical Liberalism. Dua buku Inggeris masih gagal dihabiskan; Justice as Fairness: A Restatement dan Anarchy, State and Utopia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan