Isnin, 1 Februari 2016

Buku #2: Pemburu Kesepian di Bumi Geordy

Bismillah
Selamat pagi Februari!

Sebelum jendela Januari ditutup, saya berjaya menghabiskan satu lagi buku. Kali ini, buku tulisan Dr Maszlee Malik, antara ilmuwan yang dikagumi di Malaysia dengan tadbir urus yang baik (good governance). Naskhah kali ini membawakan genre travelog dan jika tidak salah, ini adalah kali pertama Dr Maszlee menulis dalam genre ini. Tulisan-tulisan sebelum ini banyak berkisar tentang ilmu. Dr Maszlee telah menulis beberapa buah buku seperti Risalah Pemuda Muslim -- tajuk seakan-akan salah satu risalah yang ditulis Ustaz Hasan al-Banna -- dan Menuju Sejahtera Meraih Bahagia yang lebih 'berat' daripada sudut idea.


Buku Pemburu Kesepian di Bumi Geordy, seperti biasa, merupakan salah satu buku yang tidak disangka untuk dibeli. Tika itu, saya berhajat untuk membeli buku kepada abang-abang dan kakak-kakak yang banyak berjasa semasa saya menjalani Latihan Industri di MAA Takaful. Selesai membeli bahagian mereka, teruja melihat karya baru Dr Maszlee yang suatu ketika dahulu pernah ditaksubkan, lalu saya capai dan bayar.



Buku kali ini membawa tema pengembaraan seorang rakyat Malaysia di bumi Durham, United Kingdom. Dalam pengembaraan Dr Maszlee menyudahkan Ijazah Doktor Falsafah-nya, beliau menceritakan pengalaman-pengalamannya terkait perjalanan peribadi, politik, pendidikan, perjalanan spiritual dan lain-lain.

Saya sudah memiliki dua buah buku Dr Maszlee yang disebut di atas, tetapi belum sempat membaca keseluruhan buah fikiran Dr Maszlee dalam kedua-dua buah buku tersebut.

Sedikit komen mengenai buku dan saya:

1. Buku ini memaparkan sisi 'ustaz' seorang Maszlee. Dr Maszlee yang saya kenal adalah seorang ilmuwan atau intelektual yang mempunyai idea yang segar dalam bidang Pengajian Islam dengan penguasaan yang baik dalam khazanah-khazanah ilmu Islam seperti ilmu Usul Fiqh, Hadith dan lain-lain. Namun, dalam syarahan-syarahan umum beliau, jarang ditampilkan sisi ini. Sisi ilmu yang datang dari Barat yang sering ditonjolkan dan kemudian didatangkan hujah bahawa itu juga prinsip Islam. Oleh itu, jika anda membaca naskhah ini, anda akan nampak, hampir di setiap permulaan bab, diletakkan ayat al-Quran atau Hadith atau kata-kata para 'alim.

2. Buku ini mencerminkan siapakah Dr Maszlee sebelum ini. Dahulu, Dr Maszlee tidak dikenali sebagai seorang yang bergelumang dengan politik nasional. Dahulu beliau lebih dikenali dengan perjuangan Palestin, seorang ustaz Wahabi (haha!), ahli JIM dan sebagainya. Oleh itu, banyak perbahasan dalam buku ini bertemakan tiga perkara, namun dua daripadanya sangat terkait dengan Dr Maszlee, iaitu:

a. Palestin
Buku ini memaparkan pandangan-pandangan Dr Maszlee berkenaan negara Palestin. Terdapat satu bab dalam buku ini yang menceritakan bagaimana penilaian masyarakat dunia terhadap kes gantung seorang warga Afghanistan yang menghina Rasulullah SAW. Dua pemimpin dunia ke Afghanistan untuk membela penghina tersebut. Kata Dr Maszlee,
"Amat ironi sikap kedua-dua tokoh tersebut, sanggup bertolak ke Afghanistan walaupun sedang sibuk dengan urusan negara yang lebih besar semata-mata untuk menyelamatkan nyawa seorang pemuda yang telah menghina agamanya"
"Mengapakah isu kemanusiaan ini tidak cukup 'manusia' buat Rice dan Miliband? Masih lagi ironi, hanya kerana nyawa si pemuda yang telah menghina Islam, AS dan UK sanggup bertindak proaktif. Malangnya untuk nyawa 1.5 juta penduduk Gaza, mereka bersikap zalim, sezalim-zalimnya." 
(Bab 33: Nyawa Perez Lebih Berharga daripada Gaza)
Beliau juga telah berjumpa dengan beberapa insan berpengaruh dalam isu Palestin di United Kingdom seperti Yvonne Ridley -- seorang jurnalis -- dan George Galloway, seorang ahli politik.

b. Islamophobia
Sikap fobia akan Islam ini terjelma bermula pada tahun 2001 apabila watak Osama Laden melanggar Pusat Dagangan Dunia atau lebih dikenali dengan nama World Trade Centre, Namun kesannya masih terbawa-bawa hingga ke hari ini. Jadi, tidak hairanlah jika rasa fobia ini masih berdiam dalam hati warga UK walaupun sudah hampir enam tahun peristiwa itu berlaku. Ada yang melatah apabila media memutar belitkan kenyataan seorang bishop Kristian. Beliau hanya menyatakan bahawa undang-undang kekeluargaan dan kewangan dalam Islam sesuai atau mesti diamalkan oleh Homo-islamicus. Seperti biasa, inilah masa yang sesuai bagi pihak untuk membantai Islam dan pengikut-pengikutnya.

Antara perenggan yang menarik ialah tulisan Dr Maszlee dalam menympaikan semula idea Edward Said, seorang intelektual kelahiran Palestin:
"Mungkin inilah yang dikatakan oleh mendiang pemikir Edward Said, golongan Barat hanya inginkan nilai mereka yang difahami oleh orang timur, tanpa mereka mahu memahami dan mengiktiraf nilai-nilai orang timur."  
(Bab 33: Undang-undang Syariah di UK?)
3. Tema yang diangkat menjadi wajah baru Dr Maszlee pasca-Ijazah Kedoktoran ialah tadbir urus yang baik. Tidak dinafikan, jenayah dan salah laku pasti akan berlaku di mana-mana. Boleh jadi di Afrika Selatan, boleh jadi di Malaysia dan boleh jadi di United Kingdom. Namun, bagaimanakah tindakan badan-badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga satu-satu portfolio?

Contoh perkara-perkara yang menarik ialah:
"Derek Conway pula sedang menjadi perhatian di seluruh UK kerana tindakan beliau melantik anaknya bekerja untuk beliau dengan bayaran lebih £11,773 setahun berserta bonus £10,000 pada September 2005 dan Mei 2007. Isu yang timbul bukanlah kerana anaknya bekerja, tetapi isu ketelusan. Remaja yang masih menuntut di Universiti New Castle itu telah diambil menjadi pegawai penyelidik tanpa ada sebarang bukti-bukti kerja-kerja yang dilakukan. Hal ini mengundang kemarahan ahli parlimen dan rakyat yang melihat bahawa elaun tersebut merupakan tindakan salah guna wang pembayar cukai" (Bab 38: Mempelajari Erti Ketelusan Berpolitik di UK)
4. Tidak sahlah jika buku bergenre travelog namun tidak diselitkan pengalaman peribadi. Antara pengalaman yang dimuatkan dalam ini ialah pengalaman berdakwah kepada bukan Muslim, menyertai minggu orientasi, sistem pendidikan di UK, pengalaman membeli kereta di UK dan lain-lain.

5. Setelah membaca buku ini, saya merasakan bahawa travelog bukanlah minat saya dalam pembacaan. Mungkin faktor sudah mendengar dalam forum yang dikenadalikan Dr Maszlee menjadikan saya sedikit bosan dengan buku ini. Keseronokan ketika membaca buku Secangkir Teh Pengubat Letih, tulisan Ustaz Hasrizal sangat tinggi berbanding ketika membaca buku ini. Mungkin ketika itu Turki belum menjadi buah mulut rakyat kebanyakan dan saya juga kurang tahu mengenai Turki.

Boleh jadi juga Dr Maszlee dicipta untuk berforum, bukan untuk menulis? :p

6. Akhirnya, kita menginginkan masyarakat Malaysia melangkah satu tapak ke hadapan dalam menjadikan Malaysia negara yang lebih baik dan rahmah. Masyarakat di UK mungkin sudah di tahap rakyat berani mempersoalkan tadbir urus ahli politik terutamanya. Keberanian ini mungkin lahir disebabkan ramai yang sudah sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk berpartisipasi dalam hal negara. Paling kurang, saya percaya bahawa warga UK percaya bahawa mereka adalah pembayar cukai yang cukainya digunakan untuk membayar elaun para menteri dan ahli parlimen. Malah sebagai seorang Muslim, kita perlu berfikir dalam bahawa kita adalah seorang khalifah yang telah diberi mandat oleh Allah untuk mentadbir nergara dengan 'adil dan baik; bukan berbuat fasad. Oleh itu, mari kita meramaikan mereka yang sedar!

Wallahu A'alam.
Wassalam.

P/s: Menanti Zahir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan