Rabu, 3 Februari 2016

Penawar Kebodohan

Bismillah.

Manusia tidak selalu akan tahu segala perkara dalam hidupnya. Cuma ketidak tahuan atau kejahilan ini hadir atas pelbagai sebab. Terkadang disebabkan perkara tersebut sememangnya sifatnya baharu. Adakalanya disebabkan keangkuhan kita untuk ambil tahu dan mungkin sahaja kerana kemalasan kita untuk meningkatkan kebijaksanaan diri kita. Pandir. 
"Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)" (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad). 
Saya menyangka bahawa slogan "ubat kepada kebodohan adalah bertanya" hanyalah kata-kata orang. Rasa takjub apabila membaca dalam buku Dr Maszlee bahawa kata-kata tersebut keluar daripada mulut Rasulullah. Walau bagaimanapun, intipati hadis tersebut menginginkan manusia untuk keluar daripada belenggu kejahilan. Cari antidot; penawar.

Dua jenis kebodohan Muhammad 'Afif:

1. Membaca

Saya suka untuk menjadikan diri saya lebih baik. Antara jalan yang saya rasakan mampu memungkinkan saya menjadi lebih baik daripada hari-hari yang telah berlalu ialah melalui jalan pembacaan. Boleh dikatakan bahan pembacaan yang saya minati wujud dalam bahasa asing; Inggeris dan Arab. Namun, buku berbahasa Arab amat jarang dibeli; apa lagi ditelaah. Oleh itu, pembelian bahan bacaan saya banyak berbahasakan Inggeris. Namun, membaca itu tidak semudah yang disangka. Malah, beban baru muncul. Aspek ketinggian bahasa pula yang menjadi hijab antara kebijaksanaan dan kebodohan. Antara karya yang sukar untuk otak saya 'telan' ialah:

a. The Enigma of Capital, tulisan David Harvey.
b. The Essential Chomsky, kumpulan artikel Noam Chomsky
c. For They Know Not What They Do: Enjoyment as a Political Factor (Radical Thinkers) oleh Slavoj Zizek

Apa yang saya lakukan? 
Jika dahulu, saya cuba memahamkan konteks ayat tersebut sahaja. Namun, kini, saya akan mencari setiap satu perkataan yang tidak saya ketahui melalui enjin carian Google. Bertanya!

Contengan dalam buku The Enigma of Capital



Contengan dalam buku The Essential Chomsky



Kemudian, saya masukkan perkataan-perkataan yang saya tak ketahui ke dalam Microsoft Excel:

Kamus baharu

Namun, jangan gunakan Google Translate kerana adakalanya maksud yang diberikan tersasar daripada maksud yang sebenar. Gunakan kamus yang lebih berotoriti dan ambil maksud dalam bahasa Inggeris; bukan terjemahan langsung bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Kamus itu sangat berguna untuk diulang kaji beberapa hari sebelum hari peperiksaan bahasa penjajah seperti IELTS/MUET/TOEFL. Kini, sudah tiada motivasi untuk membaca bahan bacaan bahasa Inggeris. ;p

2. Mesin Basuh

Saya baru berpindah. Ya, baru berpindah. Setelah hampir setahun tinggal di rumah, berat hati juga apabila terpaksa meninggalkan rumah keluarga. Kembali hidup dalam rumah bujang beramai-ramai; menggamit memori alam ijazah pertama. (Macam dah lama sangat kan?) 

Tiba masa untuk membasuh baju. Saya pernah melalui dua ekstrem. Zaman asrama (SAMBBST mahupun INTEJ), saya mencuci pakaian menggunakan tangan. Kuno sedikit. Kalau di rumah, saya dibesarkan menggunakan mesin automatik.

Kini, saya diuji dengan jalan tengah antara kedua-duanya. Mesin separa automatik pula yang menjadi khadam untuk mencuci baju di sini.
"Lah, macam mana nak guna mesin ni?" tanya 'Afif.
"Aaaaaaa Afif tak tau guna. Afif orang kaya!" jerit Lah.
"Bukanlah, aku biasa-biasa je. Cuma tak pernah guna. Ubat kebodohan tu kan belajar" seloroh aku.
Selepas itu, Lah mengajar si Afif dalam cerita di atas. Kesimpulannya, jangan malu untuk mengaku kejahilan diri.

*****

Akhirnya, saya percaya ilmu ini terlalu luas sehingga tidak mampu didakap manusia keseluruhannya. Mustahil bagi manusia untuk mengetahui keseluruhan ilmu secara mutlak. Namun, sekurang-kurangnya, dengan membuka pintu ketidak tahuan ke arah keilmuan, kita telah mengurangkan kesenjangan yang wujud antara kejahilan dan kebijaksanaan. Adapun Allah itu sememangnya tidak terjangkau oleh fikiran manusia; sentiasa 'alim dan khabir. Namun, manusia itu seharusnya membina kekuatan untuk mengakui ketidak tahuan dan kekuatan menundukkan diri, mengakui kelemahan dan belajar daripada mereka yang berhak. 

Tulisan kali ini bukanlah mengisyaratkan saya menghampiri kesempurnaan. Sekadar ingin berkongsi. Saya menyedari saya juga memiliki sisi-sisi ketidak tahuan yang lain. Biarlah cela, aib dan kelemahan saya, Allah, saya dan orang yang berhak sahaja yang tahu.

Tell me what you want to hear
Something that will light those ears
Sick of all the insincere
So I'm gonna give all my secrets away

This time don't need another perfect lie
Don't care if critics ever jump in line
I'm gonna give all my secrets away

Wallahu A'alam
Wassalam



1 ulasan: