Selasa, 16 Februari 2016

NALS 2016: Catatan Peribadi

Bismillah.

Awalnya, terdetik dalam hati untuk meremehkan sahaja program ini sama ada dengan membiarkan sahaja program ini berlangsung tanpa kehadiran saya atau hadir sekadar menghargai penganjur yang sudah menghantar pengesahan saya sebagai peserta, sehari sebelum program. Terkadang, kasih sayang Allah tidak berkadar terus dengan perkara yang kita cinta. Hadir sahajalah, ambil manfaat.

Wallahi, 
Saya berjaya dengan tulus untuk jatuh cinta dengan satu slot yang saya sendiri tak terjangka untuk masuk. Namun, izin Allah kan? 

NALS kali ini mencipta keunikannya yang tersendiri apabila buat pertama kali mengadakan sesi selari. Jadi, NALS kali ini dihidangkan dengan 4 slot utama yang teridiri daripada:

a. Ucapan perasmian oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
b. Sesi Selari 1
c. Sesi Selari 2
d. Ucapan penutup oleh YB Khairy Jamaluddin

Sesi Selari 1: Saya pilih Cluster C!

Sesi Selari 2: Saya pilih Cluster...


Untuk Sesi Selari 1, tiada cabaran yang diberikan oleh cluster lain, saya memilih Cluster C yang menggandingkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Global Moderate Movement, Tan Sri Razali Ismail. Sebelum temasya ini, saya tidak pernah mengenali Tan Sri Razali Ismail tapi setelah diperkenalkan, nyata beliau bukan sembarangan, beliau pernah dilantik menjadi diplomat dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam diskusi ini, Tan Sri Razali Ismail memaknakan moderat sebagai jalan yang aman daripada ekstremisme keganasan. Beliau menyatakan bahawa Malaysia ialah tamsilan yang unggul dalam hal kemoderatan. Atas sebab itulah Presiden Amerika Syarikat gemar hadir ke Malaysia. *Tidak setuju!* Namun, saya percaya bahawa kita sedang mengupayakan warga kita untuk hidup dengan harmoni dalam masyarakat jamak bangsa. Harapan beliau ialah tekanan perkauman 'holier than thou' tidak mendominasi pandangan sarwa masyarakat Malaysia. Manakala langkah yang wajib dilaksanakan oleh pembuat polisi negara ialah memaksimakan kebahagiaan kepada rakyat Malaysia. Kebahagiaan tidak semestinya diukur dengan pemilikan harta semata, malah keselamatan dan manfaat penjagaan kesihatan, mikro-takaful dan sebagainya juga boleh dijadikan proksi kepada kebahagiaan. 

Bahagian kedua diskusi, peserta disajikan dengan hujah Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang terkenal dengan tokoh yang berperwatakan Islamik dalam UMNO. Dr Asyraf memilih untuk tidak bersama dalam penakrifan moderat; tetapi memilih untuk menggunakan terminologi Wasatiyah kerana menurutnya kalimah ini lebih sesuai untuk menterjemah Islam. Menurut anak kepada Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani (ahli PAS), 3 pilar yang mengukuhkan ruh Wasatiyah ialah kecemerlangan (Al-Khayr), keseimbangan (Tawazun), dan keadilan (Al-'Adalah). Masyarakat Muslim tidak sepatutnya terlalu condong ke arah ekstremisme keganasan di sebelah kanan dan liberal agama di sebelah kiri. Abaikan spektrum politik beliau, kedengaran agak canggung. Mungkin dalam neraca politik, tiada yang eksak tapi politikal ekonomi menggariskan spektrum yang jelas. Dalam diskusi ini juga, Dr Asyraf berjaya mengartikulasi hudud dengan baik walaupun salah satu akhbar atas talian meletakkan tajuk yang menyimpang daripada makna yang dijawab oleh beliau.

 Sesi kedua merupakan sesi yang menarik bagi pengalaman peribadi saya. Awalnya, saya berhajat untuk masuk ke Cluster D yang menawarkan forum yang mengarahkan perbincangan tentang pedagogi berfikir. Akan tetapi, di saat akhir saya memilih untuk mengubah fikiran dan menapak ke Cluster C kerana saya agak prejudis dengan tajuk Cluster D yang mungkin agak membosankan. Saya memilih C kerana tajuk 'Nation Building' menarik kerana capaian akan kefahaman tajuk ini agak kurang meluas. Saya yakin pembinaan watak negara Malaysia perlu digerakkan massa yang sama-sama punya saham ke atas setiap inci dan radas di tanah air ini. Namun, takdir Dia, saya tidak berjaya menjumpai dewan Cluster C dan dipilih untuk masuk ke Dewan Cluster B dengan tajuk: 'The Dressing to a Bowl of Salad'. Saya hanya tertarik dengan seorang sarjana yang cukup tidak asing dalam bidang tujahan Sejarah, Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim. Dua lagi panel kerap mengangkat partinya sahaja. (Dah memang mereka bekerja sebagai politikus, memang itulah yang mereka akan kongsikan, kan?). Beliau menekankan peri penting pendidikan sejarah dalam pembinaan watak negara. Bayangkan apabila warga tua negara mencium tanah, adakah masih wujud warga muda kini yang fasih menakalkan sejarah negara yang kita cintai ini? Sedangkan beberapa argumen di sebalik beberapa keputusan yang penting di negara ini pun kita tidak tahu.

Soalan Trivia:
1. Kenapa secara sejarahnya, Melayu diberikan keistimewaan?
2. Kenapa dalam perlembagaan, pindaan akta memerlukan dua pertiga majoriti?
3. Kenapakah MIC ditubuhkan?
4. Kenapakah penguasa di Perlis dipanggil Raja, bukan Sultan?


Jawapan trivia:
1. Kerana British datang ke Malaysia dan bertemu dengan raja Melayu untuk memohon kuasa. Kemudian, mereka menandatangani perjanjian persefahaman untuk menentukan bidang kuasa. Pada masa itu juga, Melayu memang majoriti. Malah, bangsa Cina dan India masih belum dihantar ke Tanah Melayu ketika itu.

2. Semasa British mahu meninggalkan Malaysia, mereka mahu tanah ini kekal milik Tanah Melayu kerana mereka jugga mengikat perjanjian dengan Raja-Raja Melayu. Populasi Melayu pada masa itu ialah 2/3. Oleh itu, untuk meminda undang-undang, pindaan tersebut memerlukan sokongan 2/3 ahli parlimen.

3. MIC ditubuhkan untuk membina kekuatan orang asal India yang berada di Tanah Melayu untuk memerdekakan India. Setelah India merdeka, logikanya, MIC tidak lagi diperlukan. Malah, pengasas MIC pulang ke India setelah kemerdekaan tanah airnya. (Jadi kenapa perlu ada MIC lagi kan?)

4. Kerana Perlis pada asalnya perlu membayar ufti kepada kerajaan Siam. Kerajaan Siam yang memberi daulat kepada Perlis. Kerajaan Siam memberi gelaran Raja.

Noktah menarik yang beliau kongsikan ialah:

1. Sekolah vernakular tidak patut ada kala ini. Kewujudan vernakular kala ini sedikit paradoks dengan pembawaan pemerintah Malaysia dengan slogan 1 Malaysia. Kata Tan Sri, "How can we unite when we are seperated?". Ternganga sahajalah dua panelis lain. Tapi seorang lagi panelis menambah jawapan kononnya ini adalah keistimewaan Malaysia dengan hujah bahawa Malaysia menghormati bangsa lain.

2. Kenapa istilah 'nationality' dalam borang-borang sering diberi pilihan jawapan Melayu, Cina dan India? Sedangkan 'race'/ras bermaksud Melayu, Cina dan India. Sepatutnya, apabila disebut 'nationality', kita adalah Malaysia! (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu = United Nation, bukan United Race). 

3. Demokrasi bermaksud kuasa rakyat. Kita sepatutnya berhubung dengan wakil rakyat apabila tidak bersetuju dengan sesuatu polisi kerajaan. Bila difikirkan semula, benar apa yang beliau katakan, kita seolah didiktat oleh kerajaan tanpa sedar. Kita hanya sedar kita berkuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan satu hari di hari membuang undi. Akan tetapi sepatutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri yang bekhidmat di kawasan kita merupakan tempat rujuk, tempat memberikan cadangan, dan merupakan tempat untuk kita membantah bila perlu.

4. Akhirnya, jika ada satu perkara yang perlu dipelajari rakyat Malaysia secara urgen, beliau mencadangkan rakyat Malaysia mempelajari Perlembagaan Malaysia selari dengan semangat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam rukun negara. Buat pengetahuan semua, beliau adalah antara pasukan yang menyediakan rukun negara.
Inilah slot yang saya jatuh!

Wallahu a'alam. Ini mungkin hanya sepersepuluh bunga-bunga perbincangan. 

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan