Jumaat, 12 Februari 2016

Merasai Kehangatan (Feel the Burn)

Bismillah.

Pagi tadi (Isnin) saya tidak tahu untuk mengisi pagi dengan apa (teruk betul kan?). Jadi, saya mengecilkan pilihan-pilihan yang ada kepada menonton video di Youtube mahupun membaca buku. Setelah meletakkan justifikasi bahawa dua buku telah tamat dibaca pada awal Februari ini (Alhamdulillah!), saya memilih untuk menonton video. Empat pilihan yang ada; Siri Nur Ala Nur Dr Rozaimi, Seerah Dr Yasir Qadhi, What The Right Thing To Do kendalian Michael Sandel dan lagu Hidup Barat ;p

Yang mana satu menjadi pilihan hati? 

*****

Lewat ini, debat sering dianggap sebagai solusi kepada sesuatu problematika. Baru-baru ini, heboh satu Malaysia apabila Dr Zamihan mencabar Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin untuk berdebat di bawah tema ekstremisme. Malaysia juga pernah disajikan dengan debat Anwar - Shabery, Rafizi - Khairy, Tantawi - Fathul Bari dan lain-lain. Namun, pada pendapat peribadi saya, debat dalam sfera publik ini tidak akan menyelesaikan masalah. Akhir perdebatan, pendebat 1 akan tetap dengan ide asalnya dan pendebat 2 juga masih mengekalkan ide sebelum debat berlangsung. Akan tetapi, para pendengar yang memperoleh manfaat daripada penganjuran debat pelbagai idea ini. Pemerhati akan diberikan pencerahan tentang idea yang dibawa oleh pendebat dan penilaian akan dibuat berdasarkan kecenderungan masing-masing. 

Pagi tadi saya memasukkan kata kunci "Bernie Sanders" dalam ruang carian Youtube lalu menonton satu video berkenaan beliau. Namun dalam ruangan cadangan saya tertarik dengan satu video kepunyaan YourFirstNews bertajuk "MSCNB FULL MSNBC Democratic Debate: Hillary Clinton VS Bernie Sanders - New Hampshire Feb. 4, 2016". Antara sebab yang menarik perhatian saya untuk klik dan mainkan video tersebut ialah keinginan untuk tahu tahap kematangan politik yang sering digembar-gemburkan akademia tanah air berkenaan negara Uncle Sam tersebut. Selain itu, memandangkan salah seorang calon Republican, jutawan, Donald Trump telah menyebarkan propaganda Islamophobia, saya semakin merasakan Demokrat adalah parti yang baik untuk disokong. Namun, untuk rekod, sebenaranya bukan dasar Republikan untuk menyebarkan kebencian kepada Islam, dia seorang sahaja yang bermasalah! 

Baiklah, pastinya debat ini mempertemukan dua calon paling terkehadapan dalam Parti Demokrat, Bernie Sanders dan Hillary Clinton. Buat pengetahuan pembaca, Presiden Amerika Syarikat buat masa ini, Barack Obama juga lahir dari rahim Parti Demokrat. Walaupun kedua-dua calon ini mewakili parti yang sama, mereka mempunyai pola pemikiran yang berbeza. Idea yang ditawarkan oleh kedua-dua calon Demokrat untuk jawatan Presiden ini juga berbeza. 

Bernie Senders membawa premis kempen untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan negara melalui sistem demokrasi. Menurutnya, wasilah untuk mencapai kepercayaan rakyat ialah melalui pemberdayaan rakyat dalam kempen pilihanraya. Beliau secara terang mengecam calon-calon yang bertanding dengan dana syarikat korporat multinasional. Malah, Clinton juga terkena kecaman tersebut. Bernie mengatakan antara punca rakyat dipinggirkan ialah kerana kebanyakan polisi-polisi negara terpaksa mengikut pemberi dana tersebut. Satu perkara yang boleh dibanggakan, Bernie berjaya menggerakkan kempennya tanpa dana syarikat-syarikat gergasi, akan tetapi dana daripada rakyat. Berjuta rakyat menyumbang 20 dolar untuk mendanai perjalanan kempen senator tersebut. Secara ringkasnya, beliau percaya tanpa tekanan daripada syarikat korporat, kerajaan akan lebih bebas dalam membuat keputusan. Manakala Hillary Clinton yang juga bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat memilih untuk menangani masalah rasisme dan sosial. Setakat debat yang berlangsung, kedua-dua calon ini menyokong premis Clinton. Malah, Bernie Sanders menguatkan noktah dengan mengatakan kebanyakan hukuman telah dijatuhkan kepada warganegara kulit hitam berbanding kulit putih. 

Satu perkara yang sering menjadi kritikan masyarakat dunia bila disebut Amerika Syarikat ialah dasar atau polisi luar negara tersebut. Antara perkara yang secara khususnya disentuh oleh moderator ialah cabaran ISIS, klasifikasi ancaman Rusia, Korea Utara dan Iran. Bernie meletakkan Korea Utara sebagai negara yang mampu mengancam kedaulatan Amerika Syarikat memandangkan Korea Utara memilih untuk mengisolasi diri mereka dan pemilikan mereka akan senjata nuklear dan teknologinya. Rusia dan China masih lagi memetakan diri mereka dalam permainan politik dunia. Rusia masih mencari tapak untuk meluaskan jajahan mereka di Timur Tengah. Syria mungkin permulaan. China pula membina tapak di benua Afrika, malah mula menunjukkan kesungguhan untuk meletakkan tahap baru dalam ekonomi dunia. Perihal ISIS pula, Sanders mengusung ide Amerika Syarikat sepatutnya tidak perlu berpihak. Beliau menyatakan permasalahan ISIS patut diselesaikan oleh tentera Muslim di seluruh dunia, bukan Amerika Syarikat. Manakala Clinton pula memilih untuk memperkuat koalisi NATO untuk menghadapi cabaran-cabaran di Timur Tengah. Tiada tanda-tanda untuk mengubah dasar ofensif Amerika Syarikat selama berpuluh tahun hingga hari ini.

Dalam hal TPPA, kedua-duanya memilih untuk tidak berpihak kepada proses menandatangani perjanjian tersebut. Bernie Sanders tidak percaya kepada 'unfattered' perdagangan bebas kerana ada pihak yang akan menzalimi pihak yang lemah. Manakala Clinton masih bersikap flip-flop dalam pendiriannya berkenaan TPPA. Beliau pernah bersetuju dengan TPPA dan pernah juga tidak bersetuju.

*****

Kita mungkin selalu terkhayalkan demokrasi ala-ala Amerika; sedangkan demokrasi ini bukanlah utopia yang terbaik.  Namun, ada beberapa perkara menarik yang terujar dalam politik Amerika Syarikat.

1. Parti tidak membawa ideologi yang tekal. Parti Demokrat ditubuhkan asalnya dengan menuju utopia liberal klasik untuk didominasikan. Tapi, selepas beberapa dekad penubuhan, ide sosial liberal telah mendominasi parti.

2. Parti seolah-olah tidak berkuasa menentukan hala tuju. Kekuasaan dalam penetapan gagasan parti menjelang pilihan raya banyak bergantung kepada pembawaan calon presiden. Jika calon presiden daripada parti berkenaan meminati idea sosial liberal, maka parti juga akan diusung ke arah tersebut. Malah, kita juga melihat perbezaan idea yang ketara perihal perdagangan bebas di mana Clinton bersetuju manakala Bernie tidak bersetuju. Apakah peranan parti?

3. Saya masih skeptik dengan polisi luar Amerika. Kita telah melihat Republikan memerintah di tangan George W. Bush dan Demokrat pernah memegang tampuk kuasa dengan Obama menjadi pahlawannya. Namun, polisi Amerika Syarikat tidak pernah berganjak dalam hal Palestin-Israel. Malah, perbahasan Zionis tidak disebut dalam perdebatan calon Demokrat ini. Adakah ini menunjukkan polisi Amerika-Zionis tidak akan berubah? Saya pasti sesiapa pun yang menang jawatan Presiden kali ini, tetap akan menggalakkan keserakahan Zionis melahap tanah negara Palestin.

4. Ketenatan korupsi adalah sistemik. Dengan adanya program tajaan daripada syarikat multinasional terhadap calon parlimen Amerika Syarikat, kesenjangan ekonomi akan melebar, kekayaan dinikmati sepersepuluh daripada 1% rakyat terkaya di Amerika, kemiskinan golongan pertengahan dan peluang pekerjaan makin menipis. Kondisinya mimik Malaysia, bahkan banyak negara lain lagi. Jadi, jika ditanya tentang negara yang aman dan ekonomi bagus, yang masih bermain dalam kepala saya ialah negara Scandinavia. Namun, itu hanya dengar-dengar, tanpa kajian yang mendalam.

5. Budaya debat terutama dalam niche politik sangat penting untuk memberi pencerahan kepada bakal pengundi gagasan atau idea yang ingin dibawa oleh calon. 



Go Sanders go!

Keputusan terkini pemilihan calon Presiden Republican. Tuhan, jauhilah Trump! 

Sekarang ini, sedang berlangsung Primary Election dan Caucus untuk kedua-dua belah parti politik di Amerika Syarikat.

'Ya! Ada yang jaya ada yang terhina
Ada yang bersenjata, ada yang terluka.
Ada yang duduk, ada yang diduduki,
Ada yang berlimpah, ada yang terkuras.
Dan kita di sini bertanya:
"Maksud baik saudara untuk siapa?
Saudara berdiri di pihak yang mana?"'
-Rendra


#FeelTheBern, di situ saya berdiri.
Walaupun kita boleh skeptik dengan beberapa hal, mafsadah yang sedikit dan manfaat yang banyak terletak kepada pemilihan Bernie sebagai Presiden dan dengan tertumbangnya Trump dalam pemilihan calon presiden daripada pihak Republican.

Wallahu a'alam

P/s: Ada apa-apa event tak esok?
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan